Buletin
Alia Bhatt terdesak ingin bintangi biopik?


Tarikh disiarkan: 13 September 2019


Alia Bhatt masih mencari projek filem biopik yang bagus untuk dibintanginya.

13 Sep – Walaupun bakal terlibat dengan projek filem "Inshallah" bersama Salman Khan, namun perkara itu tidak menghalang aktres Alia Bhatt untuk terus mencari projek baru yang lain.

Menurut laporan dari Masala, Alia dikatakan sedang terdesak mencari watak yang bagus dalam filem biopik dan jika ditawarkan, dia akan menerimanya dengan terbuka.

Tambahnya lagi, buat masa ini dia merasakan sudah tiba masa untuk dia menandatangani kontrak projek biopik namun masih belum menjumpai sebarang tawaran yang menepati kehendaknya.

Dalam pada itu, impian Alia untuk menjayakan filem biopik berkemungkinan akan menjadi kenyataan apabila pengarah Kamaal Rashid Khan mengumumkan tentang perancangan projek filem biopiknya.


"Saya akan mengarah sebuah biografi mengenai puteri kota Ghaziabad (cucu saudara Raja Ghaziuddin) dan saya pasti ia akan menjadi salah satu filem pecah panggung.

"Saya akan memilih antara tiga orang aktres terkenal iaitu Alia Bhatt, Kiara Advani dan Rakul Preet Singh untuk menjayakan watak itu," katanya menerusi entri yang di muat naik di laman Twitter baru-baru ini.

Beralih ke perkembangan lain, selain filem "Inshallah", Alia juga akan membintangi beberapa buah filem terbaru seperti "Brahmastra", "Sadak 2" dan "RRR".

(Sumber foto: Vogue India)
(Sumber artikel: Masala)

Penulis: Nisa Irina