Buletin
Ali Fazal bakal bintangi filem adaptasi "Death on the Nile"


Tarikh disiarkan: 13 September 2019


Ali Fazal bakal berkongsi skrin dengan aktres filem "Wonder Woman", Gal Gadot.

13 Sep – Aktor Ali Fazal bakal bekerjasama dengan pengarah dan aktor Kenneth Branagh apabila dipilih untuk membintangi sebuah lagi filem Hollywood berjudul "Death on the Nile".

Filem bergenre drama misteri jenayah itu merupakan sebuah adaptasi dari novel fiksyen detektif hasil nukilan Agatha Christie yang sama judul pada tahun 1937.

Menurut laporan dari Times of India, Kenneth yang pernah mengarah filem-filem hebat seperti "Thor" dan "Murder on the Orient Express", akan turut membintangi filem itu sebagai watak detektif Hercule Poirot.

Berikutan itu, Ali akan dilihat berkongsi skrin dengan barisan pelakon hebat Hollywood seperti Armie Hammer, Letitia Wright, Tom Bateman serta aktres yang terkenal dengan filem "Wonder Woman", Gal Gadot.


"Saya sangat teruja untuk terlibat dengan projek hebat ini. Saya dan ibu saya sudah lama meminati novel-novel nukilan Agatha Christie," katanya yang akan menjalani penggambaran filem pada bulan ini.

Sebelumnya, Ali telah membuat debut lakonannya menerusi watak sampingan dalam filem Hollywood berjudul "The Other End of the Line" sebelum membintangi siri TV "Bollywood Hero".

Selain itu, dia juga dilihat membintangi dua buah filem besar Hollywood iaitu "Furious 7" dan "Victoria & Abdul", yang menceritakan hubungan antara Ratu Victoria dan pembantu India Muslim beliau, Abdul Karim.

Dalam perkembangan lain, Ali kini sedang sibuk mempromosikan sebuah lagi filem barunya berjudul "Prasthanam" yang turut menampilkan aktor veteran Sanjay Dutt dan Jackie Shroff.

(Sumber foto: Deccan Herald)
(Sumber artikel: Times of India)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide