"Alif & Sofia" animasi tempatan baru bakal menyinar | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

"Alif & Sofia" animasi tempatan baru bakal menyinar

Penulis: Ashraf Nasser


Animasi "Alif & Sofia" adalah sebuah animasi untuk kanak-kanak pra sekolah.

27 Mei – Industri animasi tempatan kini semakin pesat berkembang dalam negara sehingga berjaya menembusi pasaran luar negara menerusi beberapa animasi popular tempatan seperti "Boboiboy", "Upin & Ipin", "Ejen Ali" dan banyak lagi.

Kini sebuah lagi animasi baru bakal diperkenalkan iaitu, "Alif & Sofia", yang akan disiarkan tidak lama lagi hasil kerjasama Primeworks Studios dengan Blindspot Studios.

"Primeworks Studios sangat teruja dengan pelancaran animasi terbaru dan pertama di platform digital ini. Pelaburan yang diletakkan untuk memajukan "Alif & Sofia" ini adalah sebahagian daripada misi kami dalam pembangunan dan mengembangkan harta intelek animasi Primeworks," ujar Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar yang dipetik dari Harian Metro.


Menerusi animasi terbaru ini Ahmad Izham berharap ia mampu menempa kejayaan seperti animasi "Ejen Ali".

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Blindspot Studios, Lukman Nul Hakim nyata teruja dengan kolaborasi bersama Primeworks Studios dan tidak sabar untuk berkongsi versi yang diberi nafas baru kepada animasi yang sudah berusia dua tahun ini.

Siri animasi "Alif & Sofia" boleh ditonton di laman sosial YouTube dengan episod baru akan dimuat naik pada setiap Jumaat.

(Sumber foto: AliHuda.com)

Cinema Online, 27 Mei 2019

Waktu Tayangan