Buletin
Amelia Henderson teruja dapat bintangi "J Retribusi"


Tarikh disiarkan: 18 Jun 2019


Amelia Henderson akui terpaksa berdepan cabaran sukar dalam menjayakan babak aksi.

18 Jun – Pelakon Amelia Henderson teruja apabila diberi peluang untuk membuat debutnya di layar perak menerusi filem aksi "J Retribusi" yang merupakan sekuel kepada filem pecah panggung "J Revolusi".

"Dalam filem ini, saya memegang watak Amy yang sangat fokus dengan kerjayanya. Sepanjang perjalanan cerita, penonton dapat lihat perubahan yang berlaku kepada diri Amy," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.

Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson berkata dia perlu berdepan dengan banyak cabaran untuk filem pertamanya terutamanya dari aspek fizikal.


"Sebelum mula masuk set penggambaran, saya buat persedian termasuk ke gimnasium untuk memastikan diri bertenaga ketika menjayakan babak aksi. Paling mencabar ketika pertama kali menjalani latihan untuk babak aksi, badan saya sakit sampaikan tak boleh keluar rumah."

Walaupun terpaksa berdepan cabaran sukar sepanjang penggambaran berlangsung, namun aktres berusia 23 tahun ini akui berasa lega selepas ketika berada di set penggambaran kerana dia mendapat banyak tunjuk ajar daripada pengarah yang banyak membantunya dalam menjayakan watak Amy.

Selain Amelia, filem arahan Mahzan dan Nazim Shah ini turut menampilkan Datuk Rosyam Nor dan pelakon utama asal iaitu Zul Ariffin.

Filem yang berkisarkan mengenai kehidupan anggota pasukan Unit Tindakan Khas (UTK) ini bakal dijadikan sebuah naskhah trilogi yang mana selepas tayangan "J Retribusi", sebuah lagi filem akan dihasilkan yang bakal diberi judul "J Resolusi".

(Sumber foto: Amelia Henderson Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
J Revolusi (Melayu) (2 Mac 2017)





Ticket Pricing Guide