Buletin
Amira Othman tiada masalah bawa pelbagai watak dalam lakonan


Tarikh disiarkan: 29 Ogos 2019


Karier sebagai penyanyi masih menjadi keutamaan Amira Othman.

29 Ogos – Kali terakhir dilihat berlakon dalam filem "Tiada Tajuk", penyanyi Amira Othman mendedahkan dia tiada masalah untuk menjayakan pelbagai jenis watak dalam projek yang akan datang.

"Jika sebelum ini saya pernah melakonkan watak seorang kakak dan wanita bekerjaya, mungkin selepas ini saya ingin cuba membawa watak yang sangat berbeza dari diri saya seperti watak perempuan psiko.

"Walaupun agak risau jika saya tidak dapat menjayakan watak sebegitu, tetapi ia adalah sesuatu perkara baru yang saya perlu belajar.

"Sebenarnya, saya tidak kisah untuk bawakan apa jenis watak sekalipun, asalkan ia tidak bercanggah dengan imej wanita bertudung," katanya yang ditemui di majlis pelancaran runut bunyi filem "Motif" di Red Box Plus Pavilion, Kuala Lumpur pada Selasa.

Disoal jika ingin memberi fokus terhadap bidang lakonan, penyanyi lagu "Sambil" itu berkata buat masa ini dia lebih tertumpu kepada kariernya dalam bidang nyanyian.


Ini merupakan kali pertama Amira berduet dengan penyanyi Sufian Suhaimi bagi menjayakan lagu ciptaan Farouk Roman berjudul "Takkan Merubah" yang diangkat sebagai runut bunyi filem "Motif".

"Pada awalnya, pihak pengurusan memaklumkan saya perlu berduet dengan penyanyi wanita namun terdapat perubahan dan digantikan dengan Sufian.

"Walaupun ini kerjasama pertama kami, tetapi masing-masing sudah lama kenal dan berjumpa di banyak acara. Jadi ia memudahkan saya untuk bekerja dengan Sufian," tambahnya lagi.

Dalam pada itu, Amira meletakkan harapan untuk lagu "Takkan Merubah" dapat diterima oleh peminat dan ingin menjayakan lebih banyak runut bunyi filem pada masa akan datang.

Beralih ke perkembangan baru, Amira memberitahu dia telah ditawarkan untuk berlakon dalam sebuah projek drama terbaru tahun ini.

Bagaimanapun, sebarang butiran lanjut tidak didedahkan buat masa ini berikutan perjanjian projek itu masih belum ditandatangani.

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Tiada Tajuk (Melayu) (4 April 2019)





Ticket Pricing Guide