Buletin
Amitabh Bachchan bakal bekerjasama dengan Vivek Sharma


Tarikh disiarkan: 9 Ogos 2019


Amitabh Bachchan bakal membawa watak seorang petani dalam filem "Ka Kha Ga Gha Nanga".

9 Ogos – Bintang veteran Amitabh Bachchan dilaporkan bakal bekerjasama semula dengan pengarah Vivek Sharma menerusi filem baru berjudul "Ka Kha Ga Gha Nanga".

Menurut laporan dari Bollywood Life, filem itu akan memaparkan situasi generasi masa kini serta menandakan kembalinya Sharma ke dunia pengarahan selepas 10 tahun.

Filem terakhir arahannya adalah filem pecah panggung "Kal Kissne Dekha" yang ditayangkan pada 2009. Sebelum ini, Vivek telah membuat debut sebagai pengarah menerusi filem "Bhootnath" 2008 lakonan Bachchan.

Berbalik semula ke filem "Ka Kha Ga Gha Nanga", Bachchan akan membawa watak seorang petani yang mengalami kesukaran dengan teknologi canggih masa kini.


"Amitabh Bachchan telah ditawarkan untuk membintangi projek ini tetapi setakat ini dia masih belum menandatangani sebarang dokumen rasmi.

"Bagaimanapun, dia telah memberi maklum balas yang positif selepas meneliti skrip, jadi ada kemungkinan dia akan bersetuju untuk membintanginya," jelas satu sumber terdekat.

Walaupun usianya telah mencecah 76 tahun, namun Bachchan masih dilihat aktif dalam bidang lakonan dan dia telah terlibat dengan lima buah projek filem pada tahun ini.

Filem terbaru lakonannya yang akan datang ialah "Jhund", "Sye Raa Narasimha Reddy", "Uyarndha Manithan", "Brahmastra", "Chehre" dan "Gulabo Sitabo".

(Sumber artikel: Bollywood Life)
(Sumber foto: G Q India)

Penulis: Nisa Irina