Buletin
Amitabh Bachchan mula penggambaran "Gulabo Sitabo" di Lucknow


Tarikh disiarkan: 20 Jun 2019


Amitabh Bachchan akan berganding buat kali pertama dengan Ayushmann Khurrana menerusi "Gulabo Sitabo".

20 Jun – Bintang veteran Amitabh Bachchan telah mula menjalani penggambaran bagi filem terbarunya "Gulabo Sitabo" di Lucknow, Uttar Pradesh.

Aktor berusia 76 tahun yang baru sahaja selesai penggambaran "Chehre" itu berkongsi berita tersebut menerusi laman Twitter miliknya.

"Selesai satu kerja, satu lagi baru bermula. Lokasi bertukar, penampilan berubah, kru bertukar, rakan kerja bertukar, bandar bertukar dan cerita juga bertukar.

""Gulabo Sitabo" bermula hari ini di Lucknow. Apa lagi yang saya boleh katakan," tulisnya dalam status tersebut.

Menurut laporan yang dipetik dari NDTV, filem arahan Shoojit Sircar itu merupakan debut kolaborasi di antara Bachchan dan aktor Ayushmann Khurrana.


Kedua-dua pelakon itu tidak ambil masa yang lama untuk bersetuju terlibat dengan filem itu selepas mendapat skrip filem tersebut.

"Gulabo Sitabo" yang diterbitkan oleh Ronnie Lahiri dan Sheel Kumar akan menampilkan Bachchan sebagai watak Amrish Malhotra sementara Ayushmaan pula sebagai Sunil Shukla.

Berlatar belakang bandar Lucknow, skrip filem bergenre komedi kekeluargaan tersebut telah dihasikan oleh rakan kolaborasi Sircar, Juhi Chaturvedi. Sircar dan Juhi pernah bekerjasama menerusi filem "Vicky Donor", "Piku" dan "October".

Sebelumnya, filem itu dijadualkan untuk ditayang pada November tahun ini namun kemudian ditunda ke tarikh baru iaitu pada 24 April 2020.

(Sumber artikel: NDTV)
(Sumber foto: Eastern Eye)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide