Buletin
Amitabh Bachchan umum rehat panjang dari lakonan


Tarikh disiarkan: 14 November 2019

Amitabh Bachchan berasa kesal kerana menghampakan para peminatnya.
Amitabh Bachchan berasa kesal kerana menghampakan para peminatnya.

14 Nov – Berikutan tahap kesihatannya yang semakin membimbangkan, aktor veteran Amitabh Bachchan kini mengumumkan bahawa dia terpaksa berehat panjang dari dunia lakonan.

Bachchan, yang sebelum ini dilaporkan menghidap penyakit sirosis hati dan terpaksa membatalkan penampilannya di sebuah pesta buku, memberitahu dia perlu mengikut arahan doktor yang memberi amaran mengenai kesihatannya.

Dalam pada itu, Bachchan turut meluahkan rasa kesal kerana terpaksa membatalkan kehadirannya untuk merasmikan Festival Filem Antarabangsa Kolkata (KIFF) yang ke-25, bermula dari 8 hingga 15 November ini.

"Kecewa dan kesal kerana tidak dapat menghadiri KIFF di Kolkata. Sebuah acara yang saya hadiri selama bertahun-tahun, dan kini masuk tahun ketujuh.


"Tiada lagi ucapan yang mengagungkan filem dan kajian yang dilakukan oleh orang-orang yang berpelajaran. Jika mampu, saya akan membacakan ucapan itu dalam sebuah rakaman dan menghantarnya kepada mereka untuk dimainkan ketika majlis penutupan," ulas Bachchan yang dipetik dari Economic Times.

Selain itu, Bachchan sempat memohon maaf kepada semua pihak yang menjayakan KIFF serta para peminatnya berikutan berita mengenai kesihatannya itu.

Walau bagaimanapun, Bachchan telah menerima pelbagai ucapan positif daripada para peminatnya, yang rata-rata berharap aktor itu kembali sihat seperti biasa.

Pada 7 November lalu, Bachchan telah menyambut ulang tahun ke-50 bagi penglibatannya dalam industri filem Bollywood, yang mana dia telah membuat debut menerusi filem "Saat Hindustani" pada 1969.

(Sumber foto: Wikimedia)
(Sumber artikel: Economic Times)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide