Buletin
Ananya Panday terus menentang isu pembulian siber


Tarikh disiarkan: 14 November 2019

Ananya Panday dedah kempen anti-bulinya banyak membantu golongan wanita.
Ananya Panday dedah kempen anti-bulinya banyak membantu golongan wanita.

14 Nov – Biarpun masih baru dalam dunia Bollywood, namun perkara itu tidak membuatkan aktres Ananya Panday terkecuali menjadi mangsa pembulian siber yang semakin tular sejak kebelakangan ini.

Beberapa bulan lalu, Ananya mendedahkan pengalaman buruknya apabila seorang gadis yang mengaku sebagai rakan sekolahnya, menuduhnya menipu tentang kemasukannya ke Universiti California Selatan.

"Dunia di media sosial boleh menjadi sangat buruk dan negatif, terutamanya kepada golongan wanita. Saya juga tidak terkecuali dari menjadi mangsa buli siber baru-baru ini.


"Namun saya bernasib baik kerana mendapat sokongan daripada orang-orang di sekeliling saya dan berasa simpati kepada golongan yang tidak senasib dengan saya" ujar Ananya yang dipetik dari India Today.

Dalam pada itu, Ananya berkata sejak pelancaran kempen anti-buli 'So Positive', ramai wanita memberitahunya bahawa kempen tersebut banyak membantu mereka menentang isu buli siber.

Antara selebriti Bollywood yang menjadi duta untuk menyokong kempen itu termasuklah Tiger Shroff, Alia Bhatt, Kartik Aryan, Arjun Kapoor dan pembikin filem Karan Johar.

Beralih ke perkembangan baru, Ananya akan tampil dengan filem barunya berjudul "Pati Patni Aur Woh" yang turut dibintangi Kartik Aaryan dan Bhumi Pednekar.

Filem komedi romantik yang diarahkan oleh Mudassar Aziz itu akan dirilis di pawagam bermula 6 Disember depan.

(Sumber foto: Ananya Panday Twitter)
(Sumber artikel: India Today)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide