Buletin
Arjun Kapoor bina badan demi filem "Panipat"


Tarikh disiarkan: 12 Julai 2019


Arjun Kapoor akan tampil sebagai watak Sadashiv Rao Bhau.

12 Jul – Aktor Arjun Kapoor mendedahkan bahawa dia perlu menurunkan berat badan demi menjayakan wataknya dalam filem terbaru "Panipat".

Aktor filem "India's Most Wanted" itu berkata dia mengetahui yang peminat mengharapkan penampilannya sama seperti dalam filem sebelumnya.

Sehubungan dengan itu, dia telah menjalani pelbagai latihan kecergasan bagi membina badannya semula sebagai persiapan bagi filem tersebut.

Dalam pada itu, Arjun turut mendedahkan bahawa dia pernah menghidap masalah kesihatan iaitu obesiti semasa zaman kanak-kanak.

"Saya mampu untuk kelihatan lebih baik. Saya perlu bersikap jujur dengan diri sendiri dan penonton yang akan mengeluarkan duit bagi menonton filem saya.


"Mereka berharap untuk melihat saya seperti sebelum ini. Namun saya pernah menghidap masalah kesihatan yang saya tidak pernah ceritakan iaitu masalah obesiti pada zaman kanak-kanak," jelasnya dalam laporan yang dipetik dari TimesNowNews.

Tambah aktor berusia 34 tahun itu lagi, dia kini kembali selepas berjaya menurunkan beberapa kilogram dan ternyata pengarah gembira dengan transformasinya.

Menerusi filem berlatar belakangkan peperangan itu, Arjun akan tampil membawa watak pewira, Sadashiv Rao Bhau yang berjuang dalam peperangan ketiga Panipat 1761.

Diarahkan oleh Ashutosh Gowariker, filem itu turut dibintangi Sanjay Dutt dan Kriti Sanon sebagai peneraju utama. Ia bakal ditayangkan pada 6 Disember 2019.

Dalam pada itu, Arjun bakal membintangi filem drama komedi berjudul "Sandeep Aur Pinky Faraar" di mana dia akan digandingkan bersama Parineeti Chopra.

(Sumber artikel: Times Now News)
(Sumber foto: Bold Outline)

Penulis: Nisa Irina