Buletin
Arjun Rampal bakal bintangi sebuah filem thriller 'supernatural'


Tarikh disiarkan: 18 September 2019


Arjun Rampal jadi pilihan utama penerbit filem "Anjaan- The Unknown".

18 Sep – Biarpun baru sahaja bergelar bapa, namun perkara itu tidak menghalang aktor Arjun Rampal daripada bersetuju membintangi sebuah filem thriller 'supernatural' berjudul "Anjaan - The Unknown".

Filem yang diterbitkan oleh Rahul Mittra dan Raju Chadha itu menandakan kolaborasi kedua mereka bersama Arjun selepas filem "Daddy" 2017.

Menurut Arjun, dia memberi lampu hijau untuk menandatangani tawaran itu kerana tertarik dengan skrip filem, di mana dia diberikan watak seorang anggota polis yang memburu seorang pembunuh bersiri.


"Filem yang menggabungkan elemen jenayah dan seram ini berkisar mengenai tiga orang gadis yang dijumpai terbunuh atas sebab-sebab tertentu yang bermisteri.

"Arjun akan menyiasat kes itu dan menjumpai perkara-perkara yang berkait dengannya," ujar Mittra menerusi laporan dari Mid-Day.

Dedah Mittra lagi, Arjun merupakan pilihan pertama mereka untuk diberikan tanggungjawab sebagai watak utama dan kini mereka sedang dalam proses pemilihan barisan pelakon lain.

Diarahkan oleh Amitendra Vats, proses pra produksi dan penggambaran filem itu akan bermula pada Januari tahun hadapan.

Sebelum itu, laporan menyatakan pihak produksi akan melawat beberapa kawasan di Scotland dan Uttarakhand sebelum menentukan lokasi muktamad bagi penggambaran filem.

(Sumber foto: GQ India)
(Sumber artikel: Mid-Day)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide