Buletin
Atikah Suhaime kembali jadi rebutan penerbit


Tarikh disiarkan: 23 Mei 2019


Atikah Suhaime akui mula didekati ramai lelaki selepas tak jadi kahwin.

23 Mei – Pelakon Atikah Suhaime memberitahu rezekinya dalam bidang lakonan semakin bertambah yang mana menyaksikan jadualnya padat sepanjang tahun ini.

"Alhamdulillah. Sejak tahun lalu, saya mula aktif di Indonesia. Sekarang banyak pula tawaran berlakon di Malaysia. Kadangkala tidak cukup masa untuk berehat," ujarnya yang dipetik dari BH Online.

Atikah atau nama sebenarnya Nur Atikah Mohd Suhaime bersyukur namanya kembali diberi kepercayaan oleh penerbit dan pengarah untuk membintangi drama dan filem.

Terdahulu pelakon kelahiran Singapura ini mengambil keputusan untuk pulang ke negaranya dan mencari kerja lain selepas hampir setahun tidak mendapat sebarang tawaran berlakon.

Dalam pada itu, pelakon "Volkswagen Kuning" ini berkata walaupun hasratnya untuk mendirikan rumah tangga dengan penyanyi dan komposer terkenal Awi Rafael dibatalkan beberapa hari sebelum majlisnya, dia langsung tidak menyimpan dendam terhadap penyanyi itu.


Malah pelakon berusia 28 tahun itu berkata dia dan Awi masih lagi berkawan baik seperti dahulu sebelum mereka bercinta.

"Persahabatan yang terjalin lebih tujuh tahun sangat mahal harganya buat saya. Saya takkan 'buang' teman baik apatah lagi insan yang pernah berada dalam hati saya."

Sementara itu, Atikah mengakui selepas perkahwinannya dibatalkan dia mula didekati ramai lelaki tetapi dia menganggap mereka hanya sebagai kawan.

Atikah juga tidak mahu fikirkan soal jodoh kerana dia percaya jodoh akan datang sendiri, cuma tidak tahu samada cepat atau lambat.

(Sumber foto: Atikah Suhaime Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan: