Buletin
Ayushmann Khurrana dedah cabaran alih suara wanita


Tarikh disiarkan: 7 September 2019


Ayushmann Khurrana pernah meniru suara wanita untuk membuat panggilan palsu.

7 Sep – Demi menjayakan watak Pooja dalam filem komedi "Dream Girl", aktor Ayushmann Khurrana perlu mengalih suara serta berlakon sebagai seorang wanita.

Ayushmann itu turut mendedahkan cabaran yang dihadapi sepanjang melakonkan watak itu dan mencuba sebaik mungkin untuk meniru suara wanita.

Menurut laporan dari Times of India, pada mulanya pihak produksi ingin mencari seorang wanita bagi mengalih suara Ayushmann dalam filem namun aktor itu bertegas untuk cuba melakukannya sendiri.

"Memandangkan cubaan saya berjaya hampir 80 peratus, jadi saya fikir untuk mencubanya dan jika gagal, kami akan mencari seorang aktres atau seorang pelakon suara yang bagus untuk ganti saya.


"Secara jujurnya, saya menggemari suara Priyanka Chopra. Sudah tentu cubaan saya mencecah 30 hingga 40 kali dan perlu fokus setiap dialog. Ia satu kerja keras namun hasilnya memuaskan," ujar Ayushmann.

Dalam pada itu, dia mendedahkan bahawa dia pernah meniru suara wanita dan membuat panggilan palsu ketika bekerja sebagai penyampai radio.

Tambahnya lagi, melakonkan suara wanita bukanlah suatu pengalaman baru dan dia telah bersedia untuk filem sebegitu selama bertahun-tahun.

"Dream Girl" merupakan filem arahan Raaj Shaandilyaa yang berkisar mengenai seorang lelaki yang bekerja di sebuah syarikat cari jodoh dalam talian dan perlu menggunakan suara wanita ketika bercakap dengan pelanggannya.

Filem komedi itu bakal menemui penonton di pawagam bermula 13 September ini.

(Sumber foto: Times of India)
(Sumber artikel: Times of India)

Penulis: Nisa Irina