Buletin
Ayushmann Khurrana teruja nantikan tahun 2020


Tarikh disiarkan: 3 Oktober 2019

Ayushhman Khurrana bakal umumkan projek terbarunya pada tahun hadapan.
Ayushhman Khurrana bakal umumkan projek terbarunya pada tahun hadapan.

3 Okt – Setelah lakonannya menerusi filem "Article 15" dan "Dream Girl" mendapat sambutan memberangsangkan, aktor Ayushmann Khurrana mendedahkan dia bakal terbabit dengan beberapa projek terbaru pada tahun 2020.

"Nampaknya 2020 adalah tahun yang sibuk tetapi saya sangat teruja. Sekurang-kurangnya tiga buah filem bakal dirilis dan saya tidak sabar untuk berkongsikan kepelbagaian projek-projek ini kepada penonton.

"Setiap daripada tiga filem ini mempunyai skrip yang kuat dan jalan ceritanya jugak agak berbeza. Selain filem-filem ini, saya juga mempunyai beberapa pengumuman menarik yang akan dikongsikan," ujarnya.


Seperti yang dilaporkan menerusi India Today, pengumuman mengenai projek-projek terbaru itu akan turut disusuli dengan sesi penggambarannya.

Filem-filem lakonan Ayushmann yang bakal ditayangkan pada tahun hadapan ialah "Bala" arahan Amar Kaushik dan "Gulabo Sitabo" bersama aktor veteran Amitabh Bachchan.

Selain itu, dia juga akan bergandingan dengan aktor Jitendra Kumar dalam filem komedi romantik "Shubh Mangal Zyada Saavdhan" terbitan Bhushan Kumar dan Aanand L. Rai.

Ayushhman telah membuat debut dalam industri perfileman Bollywood menerusi filem komedi romantik arahan Shoojit Sircar berjudul "Vicky Donor".

Filem itu juga telah berjaya mendapat kutipan yang tinggi serta memenangi beberapa anugerah berprestij dan festival filem di India.

(Sumber foto: Filmfare)
(Sumber artikel: India Today)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide