Buletin
Azhar Amir akui gementar jayakan watak Tun M


Tarikh disiarkan: 12 November 2019

Azhar Amir sahut cabaran untuk menjayakan watak Tun Dr Mahathir Mohamad.
Azhar Amir sahut cabaran untuk menjayakan watak Tun Dr Mahathir Mohamad.

12 Nov – Sebuah naskhah biografi yang mengangkat perjuangan Perdana Menteri Malaysia yang ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M), arahan Profesor Mohamad Hatta Azad Khan bakal direalisasikan tidak lama lagi.

Sehubungan dengan itu, pelakon Azhar Amir atau nama sebenarnya, Tengku Azharudin bin Tengku Amiruddin, terpilih untuk menggalas watak negarawan ulung yang disegani tersebut.

Mengakui berasa gerun dan gementar untuk menjayakan watak Tun M, Azhar berkata dia menganggap tawaran yang diterima itu ibarat satu cabaran besar buat dirinya sebagai anak seni.

"Ketika saya dipanggil oleh pihak produksi, jujur saya menggigil juga kerana Tun M merupakan individu yang satu dalam seribu dan Perdana Menteri yang sangat hebat. Insya-Allah, saya akan lakukan yang terbaik dan sahut cabaran ini.


"Sebelum mula uji bakat, saya meminta sedikit masa untuk mengkaji semula perwatakan Tun M. Kemudian saya mendapat tahu saya telah disenarai pendek walaupun terdapat nama-nama besar yang turut serta uji bakat," katanya yang ditemui di majlis pelancaran filem "Mahathir: The Journey" di Hotel Sheraton Petaling Jaya pada Isnin.

Sebagai persiapan, Azhar mendedahkan dia telah menonton dokumentari, membaca buku dan artikel berkaitan serta berbincang dengan pengarah dan pihak produksi bagi mendalami dan memahami perwatakan Tun M.

Selain itu, Azhar turut meluahkan hasratnya untuk bertemu sendiri dengan tokoh negara itu untuk bersalaman serta meminta restu daripada tuan empunya badan sendiri.

"Saya nak beritahu pada Tun M, saya akan lakonkan watak dirinya. Saya harap beliau boleh bagi restu. Sekurang-kurangnya, jika boleh dapat angguk tanda setuju daripada beliau pun saya sudah berpuas hati.

"Kita tak boleh minta banyak masa dari seseorang yang begitu hebat seperti Tun M. Dapat merasai kehadirannya sudah cukup untuk buat bulu roma saya meremang," tambahnya lagi.


Barisan pelakon yang bakal menjayakan filem "Mahathir: The Journey".

Menurut Profesor Mohamad Hatta Azad Khan, pemilihan pelakon yang disenaraikan oleh pengarah pengurusan Mohd Taha Ab Wahid dan pengarah kreatif Yusof Kelana, diputuskan oleh pihak produksi setelah mengadakan ujibakat tertutup pada Oktober lalu.

"Kami melakukan kajian selama tujuh bulan untuk merealisasikan kisah perjuangan Tun. Ia inspirasi kisah benar, malah babak bakal dipaparkan adalah kejadian yang berlaku selepas Tun meletakkan jawatan pada 2003. Sebahagian babaknya pula kejadian sebenar yang tidak pernah diketahui umum.

"Buat pengetahuan, kami tidak menyentuh isu yang berkait dengan sebarang agenda politik. Fokus kami adalah menceritakan kehidupan Tun yang mempunyai tanggungjawab bukan hanya pada negara, malah pada keluarga beliau juga," tambah beliau lagi.

Selain Azhar, filem itu turut dibintangi oleh Fauziah Latiff (Tun Siti Hasmah), Afique Hussain (Dato Seri Mukhriz Mahathir), Ning Baizura (Datin Paduka Marina Mahathir), Hilal Azman (Dato' Seri Anwar Ibrahim, Dian P Ramlee (Dato' Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail), Lisdawati (Nurul Izzah), Dazrin Kamarudin (Syed Saddiq Abdul Rahman) dan ramai lagi.

Filem "Mahathir: The Journey" yang memakan belanja kira-kira RM6 juta akan difilemkan pada Disember ini di beberapa lokasi seperti Putrajaya, Alor Setar, Langkawi dan Hiroshima, Jepun. Ia dijangka akan dirilis pada Julai 2020, bersamaan hari ulang tahun kelahiran Tun M.

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide