Buletin
Bakat Bront Palarae semakin menyinar di Indonesia


Tarikh disiarkan: 13 Ogos 2019


Bront Palarae galas watak antagonis iaitu Pengkor dalam filem "Gundala".

13 Ogos – Nama pelakon Bront Palarae dilihat semakin kukuh di industri filem Indonesia apabila dia dipilih untuk membintangi filem adiwira Indonesia pertama berjudul "Gundala".

Menerusi filem itu, Bront akan menggalas watak antagonis bernama Pengkor yang menjadi musuh kepada Sancaka atau nama adiwiranya Gundala yang dilakonkan oleh Abimana Aryasatya.

Diarahkan oleh Joko Anwar, filem itu menandakan kolaborasi ketiga antara Bront dan pengarah tersebut. Sebelumnya, dia telah membintangi dua buah naskhah arahan Joko iaitu "Pengabdi Setan" dan siri "Halfworlds" yang ditayangkan di saluran HBO Asia.

Dalam pada itu, laporan dari Kosmo Online menyatakan Bront berasa teruja apabila filem "Gundala" telah tercalon serta mendapat tayangan perdana di Festival Filem Antarabangsa Toronto (FFAT 2019).


"Sebenarnya saya cukup berbesar hati kerana dijemput untuk sama-sama terlibat sebagai pelakon dalam filem adiwira pertama yang diterbitkan di Indonesia.

"Lebih seronok, saya berpeluang bermain dengan pelakon-pelakon hebat seberang seperti Cecep Arif Rahman, Abimana Aryasatya dan Luqman Sardi," jelas Bront.

"Gundala" adalah satu-satunya filem dari Asia Tenggara yang terpilih untuk bersaing di samping filem-filem seperti "Joker" terbitan Todd Phillips, "Radioactive" dan filem yang dibintangi Daniel Craig dan Chris Evans berjudul "Knives Out".

FFAT akan berlangsung di Toronto, Kanada selama 11 hari bermula pada 5 hingga 15 September depan dan merupakan festival filem terbesar di seluruh dunia.

(Sumber foto: Bront Palarae Instagram)

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan: