Balai Seni Negara nafi guna Doraemon untuk Tahun Melawat Malaysia 2020 | Buletin & Rencana | Cinema Online
Waktu Tayangan
 
Buletin

Balai Seni Negara nafi guna Doraemon untuk Tahun Melawat Malaysia 2020

Penulis: Ashraf Nasser


Ilustrasi kartun daripada Lat meluahkan rasa kekecewaan terhadap Balai Seni Negara.

24 Apr - Seluruh warganet dan orang ramai kecoh dengan sebuah artikel daripada Berita Harian yang menyiarkan 'Pameran Doraemon Sempena Tahun Melawat Malaysia 2020' yang dimuat naik oleh studio animasi terkenal tempatan Les' Copaque Sdn Bhd di laman sosial mereka dengan kapsyen menyindir pihak Balai Seni Negara.

"Benda boleh pakai animasi luar untuk promosi Malaysia, buat apa pakai animasi Malaysia sendiri," tulis Les' Copaque di laman sosial Facebook mereka.

Status tersebut telah mencetuskan kemarahan warganet yang rata-rata berang dengan tindakan pihak Balai Seni Negara yang dikatakan menganaktirikan produk tempatan sedangkan Malaysia mempunyai banyak animasi bertaraf antarabangsa.

Bukan Les' Copaque sahaja meluahkan rasa kecewa mereka, sebaliknya kartunis tersohor tanah air Dunia Kartun Lat untuk kesal dengan perkara itu.

"Kami di Dunia Kartun Lat AMAT TERKILAN DAN KECEWA dengan kenyataan pengerusi Balai Seni Negara melalui akhbar BH yang mencadangkan untuk mengadakan pameran lukisan watak kartun Doremon sempena Tahun Melawat Malaysia 2020. Terlalu banyak watak kartun tempatan yang boleh diketengahkan namun watak luar yang disanjung. Sedih dan memilukan," kenyataan yang diambil di laman sosial Facebook.

Menyedari isu ini menjadi tular, pihak Balai Seni Negara telah tampil menafikan perkara tersebut menerusi satu kenyataan akhbarnya.

Menurut Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Datuk Rashidi Hasbullah berkata kekeliruan itu timbul apabila laporan dari Berita Harian tersebut seolah menggambarkan bahawa Balai Seni Negara mengangkat Pameran Doreamon sebagai pameran Utama.

"Doraemon ini sangat popular, tahun depan merupakan tahun melawat Malaysia 2020 dan juga kebetulan Jepun menganjurkan Sukan Olimpik 2020. Jika Doraemon membuat promosi di Jepun, pihak Doraemon boleh promosi sekali Tahun Melawat Malaysia 2020. Jika mereka ada perancangan untuk membuat pameran, kita boleh bekerjasama," ujarnya.

Tambahnya lagi, Doraemon Pop-Up Store adalah merupakan program promosi bergerak produk dan cenderamata dan bukannya berbentuk pameran.

Dalam pada itu, Rashidi turut menegaskan yang pihak Balai Seni Negara sentiasa mengutamakan seni visual tempatan memartabatkan seni dan karyawan tempatan.

Sementara itu, dia juga memaklumkan yang calendar program dan pameran untuk tahun 2020 telah pun dirancang dengan pengisian khas yang menarik dengan Pameran Koleksi Seni Visual Negara dan pelukis terkenal yang menampilkan karya yang bertemakan tempat dan tempatan sebagai menyokong usaha Tahun Melawat Malaysia 2020.

(Sumber foto: Dunia Kartun Lat Facebook)

Cinema Online, 24 Apr 2019

Waktu Tayangan