Buletin
Pembikin filem "Bala" & "Ujda Chaman" henti berbalah soal tarikh tayangan


Tarikh disiarkan: 8 November 2019

'Bala' dan 'Ujda Chaman' mempunyai tema filem yang serupa.
"Bala" dan "Ujda Chaman" mempunyai tema filem yang serupa.

8 Nov– Setelah beberapa isu bangkit membabitkan filem yang mengangkat tema yang sama iaitu "Bala" dan "Ujda Chaman", akhirnya kedua-dua pembikin filem itu membuat keputusan untuk berhenti berbalah.

Lantaran itu, pengarah "Ujda Chaman", Abhishek Pathak, menarik semula kes tuduhan plagiarisme terhadap penerbit "Bala", Dinesh Vijan, yang difailkannya baru-baru ini.

Kedua-dua mereka kemudiannya mengubah semula tarikh tayangan filem supaya ia tidak bersaing untuk mendapat kutipan pecah panggung dalam minggu yang sama.

Filem "Bala", yang asalnya akan dirilis pada 15 November, telah diubah ke 7 November ini sementara "Ujda Chaman" pula diubah dari 8 November ke 1 November minggu lalu.

"Mengubah tarikh ke 1 November adalah tindakan terbaik buat kami semua. Masing-masing mempunyai minggu solo sendiri. Kedua-dua filem akan menjalankan bisnes sendiri tanpa mengganggu bisnes pihak lain.


"Saya juga berasa senang hati dengan jumlah kutipan sejak filem saya ditayangkan," ujar Abhishek yang dipetik menerusi laporan dari Pinkvilla.

"Filem mereka tidak bertembung tarikh dengan filem saya, jadi saya tidak kisah. Tiada sebab untuk kami meneruskan perbalahan mengenai isu ini," kata Dinesh ringkas.

Filem "Bala" dan "Ujda Chaman" mengisahkan kehidupan seorang lelaki yang menghidap penyakit alopesia, iaitu keguguran rambut yang kritikal, dan cara untuk dia mengatasi masalah tersebut.

(Sumber foto: Coming trailer & Times Now News)

(Sumber artikel: Pinkvilla)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide