10 Nov – Aktres popular Bhumi Pednekar kini menjadi bualan ramai apabila ada yang mempertikaikan pemilihan wataknya, namun aktres itu tampil membidas kritikan tersebut. Bhumi berkata dia tidak kisah sekiranya orang ramai mengkritik persembahan dalam sesebuah filem tetapi jangan pertikai pemilihan wataknya kerana dia enggan sering tampil 'jelita' sahaja dalam setiap filemnya. "Saya seorang pelakon. Kerja saya adalah menjayakan pelbagai watak. Saya pilih filem kerana mahu melakukan kelainan. Tonton filem saya dan jika anda ada masalah dengannya, tolong beri maklum balas mengenai kerja saya tetapi jangan pertikai pilihan watak saya. "Lakonan tidak boleh dinilai berdasarkan penampilan dalam filem sahaja kerana ia lebih kepada penghayatan pelakon itu dalam watak yang dibawanya," ujarnya dalam satu temubual bersama Deccan Chronicle yang dipetik dari Masala. Tambahnya lagi, sejak hari pertama dia menceburkan diri dalam dunia lakonan, dia cuba untuk mempelbagaikan wataknya supaya tidak dikenali dengan watak stereotaip sahaja.