Buletin
Penerbit Bhushan Kumar rancang bikin sekuel filem "Bhool Bhulaiyaa"


Tarikh disiarkan: 15 Mei 2019


Syarikat produksi Bhushan Kumar, T-Series membuat pengumuman pembikinan
"Bhool Bhulaiyaa 2" beberapa minggu selepas mereka mendaftarkan judul filem itu.

15 Mei – Pembikin filem "Bhool Bhulaiyaa" pada tahun 2007 kini sedang dalam perancangan untuk menghasilkan sekuel bagi filem tersebut.

Aktor Akshay Kumar dan Vidya Balan dikatakan akan kembali berlakon sebagai peneraju utama filem thriller komedi itu yang turut menampilkan Shiney Ahuja dan Ameesha Patel sebagai watak sampingan.

Menurut laporan MumbaiMirror, pengarah Farhad Samji akan mengarah serta menulis skrip untuk filem terbitan Bhushan Kumar itu.

Farhad kini sibuk dengan debut sebagai pengarah solo bagi filem "Housefull 4". Sebelum ini dia telah mengarah "Housefull 3" bersama abangnya Sajid.

Perkara ini telah diumumkan oleh syarikat produksi Bhushan, T-Series beberapa minggu selepas mereka mendaftarkan judul filem itu "Bhool Bhulaiyaa 2".

Sebelum ini, penonton telah terhibur dengan watak lakonan Akshay sebagai Dr Aditya Shrivastav menerusi filem pertama arahan Priyadarshan.


Filem asal itu merupakan sebuah 'remake' filem Malayalam berjudul "Manichitrathazhu" yang dibintangi Mohanlal, Suresh Gopi dan Shobhana.

Sebelum 'remake' Hindi filem itu dihasilkan, filem pecah panggung itu telah dibikin semula dalam pelbagai bahasa seperti versi Tamil iaitu "Chandramukhi".

Sumber terdekat menjelaskan bahawa sejurus skrip dimuktamadkan, pihak produksi akan memulakan proses pemilihan pelakon serta proses pra-produksi yang lain.

Dalam pada itu, jadual Akshay agak padat kerana terlibat dalam beberapa buah filem yang dibintanginya seperti "Kesari", "Mission Mangal", "Housefull 4" dan "Good News".

(Sumber foto: Moviesherald)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide