Buletin
"BoBoiBoy Movie 2" ditayangkan serentak di 5 negara


Tarikh disiarkan: 26 Jun 2019


Nizam Razak bersama penerbit dari Astro Shaw, penyanyi lagu tema Faizal Tahir dan
barisan pelakon yang menjayakan "BoBoiBoy Movie 2".

26 Jun – Filem animasi terbaru "BoBoiBoy Movie 2" bakal mencipta rekod baru apabila ia bakal ditayangkan serentak di lima buah negara pada 8 Ogos 2019.

Filem terbitan Animonsta Studios ini akan ditayangkan di 500 pawagam seluruh Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei dan Vietnam.

"Sebagai penerbit, kami sangat gembira kerana ini merupakan kali pertama sebuah filem animasi Malaysia berjaya mendapat tayangan serentak di 5 buah negara.

"Sokongan daripada peminat-peminat antarabangsa sememangnya memberi semangat untuk kami lancarkan filem "BoBoiBoy Movie 2" di serata Asia Tenggara," ujar Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios, Nizam Abd Razak yang ditemui pada majlis perlancaran filem, poster dan lagu tema "BoBoiBoy Movie 2" di Battle Arena, Jaya Shopping Centre semalam.


Tambah Nizam lagi, selain lima buah negara yang sudah mengesahkan tayangan filem terbaru itu, pihaknya bersama Astro Shaw turut merancang untuk menayangkan filem animasi terbaru ini di beberapa negara lain seperti di Thailand, Korea Selatan dan beberapa lagi yang masih lagi dalam perbincangan.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai pembikinan filem animasi kedua ini Nizam telah mencabar pasukannya untuk menyiapkan filem kedua dalam tempoh 12 bulan sahaja berbanding filem pertama mereka yang mengambil masa selama dua tahun untuk disiapkan.

Walaupun tempoh pembikinan filem animasi kedua ini lebih singkat, namun kualiti dan animasi yang ditampilkan dalam filem kedua ini lebih hebat berbanding filem sebelum ini.

Terdahulu, filem pertama "BoBoiBoy The Movie" yang ditayangkan pada 2016 telah berjaya mendapat kutipan pecah panggung iaitu lebih RM18 juta.

Oleh itu, Nizam berharap filem animasi yang menelan belanja RM7 juta terbaru mereka ini mampu mendapat kutipan yang lebih besar berbanding filem pertama.

"BoBoiBoy Movie 2" akan mengisahkan tentang BoBoiBoy dan rakan-rakannya telah diserang oleh Retak'ka, pengguna asal Kuasa Elemental. Retak'ka ingin merampas semula Kuasa Elemental daripada BoBoiBoy dan menggunakannya untuk menguasai galaksi. BoBoiBoy dan raka-rakan perlu mencari cara untuk menghentikan Retak'ka dan menyelamatkan galaksi dari ancamannya.

Sementara itu, penyanyi popular tanah air iaitu Faizal Tahir telah dipilih untuk menyanyikan lagu tema "BoBoiBoy Movie 2" yang diberi judul "Fire & Water".

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan: