Buletin
"BoBoiBoy Movie 2" akan jelajah ke seluruh Malaysia


Tarikh disiarkan: 25 Julai 2019


Nizam Abd Razak bersama pihak Astro Shaw, penyanyi lagu tema Faizal Tahir serta barisan
pelakon suara yang hadir memeriahkan Malam Gala "BoBoiBoy Movie 2".

25 Jul – Syarikat produksi Animonsta Studios bakal menjelajah ke seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak sebagai usaha untuk mempromosikan filem animasi terbaru mereka, "BoBoiBoy Movie 2".

Sehubungan dengan itu, Animonsta Studios juga telah mendapat kerjasama daripada rakan panggung untuk membuka jualan tiket filem tiga minggu lebih awal bermula 18 Julai lalu.

Apa yang lebih menarik, para peminat akan dihiburkan dengan maskot BoBoiBoy dan rakan-rakannya serta boleh mendapatkan barangan eksklusif "BoBoiBoy Movie 2" di pawagam-pawagam yang terpilih.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Animonsta Studios, Nizam Abd Razak, meluahkan rasa bangga kerana mempunyai sekumpulan tenaga kerja yang berdedikasi dalam penghasilan filem kedua "BoBoiBoy" itu.


"Sejujurnya, kami tidak pasti filem ini mampu disiapkan dalam tempoh yang sebegitu singkat kerana rata-rata filem animasi memakan masa tiga hingga lima tahun untuk disiapkan.

"Akan tetapi, dengan berbekalkan pengalaman menghasilkan filem pertama serta teknologi canggih, kami berjaya menyiapkan filem ini dalam tempoh 12 bulan sahaja," ujarnya ketika berucap di Malam Gala "BoBoiBoy Movie 2" yang diadakan di MBO Cinemas, The Starling Mall semalam.


Pihak Animonsta Studios iaitu Dzubir Mohammed Zakaria, Nizam Abd Razak dan Anas Abdul Aziz
bersama pihak Astro Shaw yang hadir di sidang media "BoBoiBoy Movie 2".

Selain itu, Penolong Kanan Naib Presiden, Ketua Pemasaran dan Pengedaran Astro Shaw, Norsalvina Alwee yang turut hadir berkata, pihaknya sentiasa ingin menghasilkan dan memasarkan filem-filem yang berkualiti.

"Kami melihat jenama dan kualiti filem "BoBoiBoy Movie 2" ini mampu memberikan kepuasan buat penonton dan ia setanding dengan filem animasi antarabangsa.

"Oleh yang demikian, kami berasa bangga dipilih untuk bekerjasama dengan pihak Animonsta Studios untuk memasarkan filem ini," katanya yang ditemui di sidang media yang diadakan selepas tayangan perdana filem tersebut.

Malam Gala tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi tersohor tempatan, Faizal Tahir yang menyanyikan lagu tema filem "BoBoiBoy Movie 2" berjudul "Fire & Water".

"BoBoiBoy Movie 2" mengisahkan BoBoiBoy dan rakan-rakannya diserang oleh musuh baru bernama Retak'ka, penguasa 7 Kuasa Elemental, yang ingin merampas semula kuasanya daripada BoBoiBoy bagi menguasai seluruh galaksi. BoBoiBoy dan rakan-rakan perlu mencari cara untuk menghentikan Retak'ka dan menyelamatkan galaksi dari ancamannya.

Filem animasi diminati ramai itu akan ditayangkan di 500 pawagam seluruh negara dan di empat buah negara luar iaitu Indonesia, Singapura, Brunei dan Vietnam bermula 8 Ogos depan.

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan: