Buletin
Bront Palarae tak fikir panjang untuk berlakon dalam "Fly By Night"


Tarikh disiarkan: 9 April 2019


Bront Palarae harap filem ini dapat sambutan daripada penonton tempatan.

9 Apr - Pelakon Bront Palarae memberitahu dia tidak mengambil masa lama untuk bersetuju berlakon dalam filem thriller "Fly By Night" selepas ditawarkan oleh pengarahnya iaitu Zahir Omar.

"Pengarah (Zahir) sanggup terbang ke Jakarta untuk menemui dan menawarkan watak dalam filem ini dan apabila saya baca skrip yang diberikan saya tidak fikir panjang dan terus terima tawaran berlakon dalam filem ini.

"Apa yang saya boleh kata adalah ia sebuah naskhah yang bagus dan sudah pasti saya berasa berbangga jika dapat berlakon dalam naskhah seperti ini," ujarnya yang ditemui pada malam tayangan perdana "Fly By Night" yang berlangsung di MBO Starling Mall, baru-baru ini.


Membawa watak sebagai Inspektor Kamal, Bront berkata dia cuba mencorak watak pegawai polis ini berbeza dari apa yang pernah ditampilkan seperti di kaca televisyen atau filem, sebaliknya ia lebih kepada realiti.

Dalam pada itu, penerbit dan pelakon "One Two Jaga" ini juga berkata dia tidak berdepan sebarang masalah atau cabaran sepanjang penggambaran filem berlangsung kerana setiap orang sudah tahu apa yang perlu dilakukan mereka.

Bront berharap agar filem terbitan Planet Films ini akan diterima baik oleh penonton tempatan memandangkan filem ini sudah pun ditayangkan di banyak festival filem antarabangsa dan mendapat pujian daripada penonton luar.

"Fly By Night" turut dibintangi pelakon lain seperti Sunny Pang, Jack Tan, Fabian Loo dan ramai lagi ini, akan menemui penonton di seluruh negara bermula 11 April 2019.

(Sumber foto: Bront Palarae Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Fly By Night (Melayu / Mandarin) (11 April 2019)
One Two Jaga (Melayu) (6 September 2018)
Ombak Rindu (Melayu) (1 Disember 2011)