Buletin
Chacha Maembong tak anggap Emma sebagai pesaing


Tarikh disiarkan: 22 Oktober 2019

Chacha Maembong dilihat semakin matang dalam lakonannya.
Chacha Maembong dilihat semakin matang dalam lakonannya

22 Okt– Biarpun tuah populariti lebih berpihak kepada kakaknya Emma Maembong, namun perkara itu tidak menjadi masalah buat pelakon Chacha Maembong yang terlebih dahulu terlibat dalam dunia lakonan.

Menurut Chacha, selama berada dalam industri, mereka sering bertukar-tukar pendapat dan sering berbincang bagaimana untuk mempertingkatkan prestasi dan kualiti lakonan masing-masing.

"Alhamdulillah, orang ramai tidak lagi membandingkan saya dan Emma seperti dulu kerana saya rasa mereka sudah tahu jenis-jenis watak yang kami boleh bawa dan gaya lakonan kami berbeza.

"Saya dan Emma pun sering memberi sokongan antara satu sama lain. Contohnya, setiap kali berada di set penggambaran, kami akan 'video call' untuk meminta pendapat dan nasihat bagi watak masing-masing," katanya.

Chacha ditemui pada malam gala tayangan perdana filem seram debutnya "Anak Perjanjian Syaitan" yang diarahkan oleh Helmi Yusof "Bikers Kental"


Dalam pada itu, Chacha turut meluahkan rasa puas hati atas hasil lakonannya dalam menjayakan watak Azlinda bersama pelakon gandingannya, Nadzmi Adhwa, menerusi filem seram tersebut.

Selain itu, Chacha berharap penglibatannya dalam filem itu akan memberi impak besar kepada para penonton, lebih-lebih lagi kepada pihak yang sering mengkritik lakonannya.

"Anak Perjanjian Syaitan" berkisar mengenai pasangan suami isteri, Zaidy dan Azlinda, yang tidak dikurniakan zuriat walaupun sudah tujuh tahun berkahwin. Mereka kemudiannya dihantui kelibat dan gangguan aneh selepas berpindah ke rumah pusaka milik nenek Zaidy.

Turut dibintangi oleh Jasmin Hamid, Azlan Komeng dan Shahrulnizam Noor, filem itu bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 24 Oktober ini.

(Sumber foto: Chacha Maembong Instagram)

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:





Ticket Pricing Guide