Buletin
Dazrin Kamarudin gembira galas watak Syed Saddiq


Tarikh disiarkan: 13 November 2019


Dazrin Kamarudin nafi ambil dadah untuk kuruskan badan.

13 Nov – Bakal menjayakan watak sebagai Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, pelakon Dazrin Kamarudin meluahkan rasa teruja kerana dipilih untuk membintangi filem biografi "Mahathir: The Journey".

"Semestinya saya gembira dan teruja apabila diberi peluang terbabit dalam naskhah ini. Gementar pun ada kerana ia sebuah filem biografi mengenai pemimpin negara.

"Tidak mudah sebenarnya membawa watak tokoh muda terkenal, tambahan pula Syed Saddiq sangat popular dalam kalangan anak muda ketika ini. Apapun, saya akan lakukan yang terbaik," ujarnya.

Dazrin ditemui di majlis sidang media dan pelancaran filem "Mahathir: The Journey" arahan Profesor Dr Hatta Azad Khan di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, pada Isnin lalu.


Dalam pada itu, pelakon filem "XX Ray 3" tersebut turut menafikan dakwaan penggunaan dadah untuk dia menurunkan berat badan, sebaliknya ia atas kesedaran diri sendiri.

"Saya tidak ambil bahan yang boleh merosakkan badan, sebaliknya mula menitikberatkan soal penjagaan pemakanan apabila berat badan pernah mencecah 89kg.

"Alhamdulillah, selepas mengamalkan pemakanan yang sihat dan bersenam, berat saya turun 19 kg. Berat badan saya susut secara berperingkat dan tidak mendadak," tambahnya lagi.

Filem itu turut dibintangi oleh Azhar Amir (Tun Dr Mahathir Mohamad), Fauziah Latiff (Tun Siti Hasmah), Afique Hussain (Dato Seri Mukhriz Mahathir), Ning Baizura (Datin Paduka Marina Mahathir), Hilal Azman (Dato' Seri Anwar Ibrahim, Dian P Ramlee (Dato' Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail), Lisdawati (Nurul Izzah) dan ramai lagi.

Filem "Mahathir: The Journey" menyingkap kehidupan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2003 sehingga dilantik semula pada 2018.

Diterbitkan oleh Reliance Media Group Sdn Bhd, filem itu dijangka akan dirilis pada Julai 2020, bersamaan hari ulang tahun kelahiran Tun M.

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
XX-Ray 3 (Melayu) (24 Januari 2019)
Lebuhraya Ke Neraka (Melayu) (4 Mei 2017)
Apokalips X (Melayu) (3 April 2014)





Ticket Pricing Guide