Buletin
Deepika Padukone lancarkan The Deepika Padukone Closet


Tarikh disiarkan: 12 Oktober 2019

Deepika Padukone ingin bantu golongan yang terlibat dengan masalah kesihatan mental.
Deepika Padukone ingin bantu golongan yang terlibat dengan masalah kesihatan mental.

12 Okt – Sebagai langkah menyokong Hari Kesihatan Mental Sedunia, aktres Deepika Padukone telah melancarkan jenama pakaian terpakainya sendiri iaitu The Deepika Padukone Closet.

Jenama yang dijual menerusi laman web deepikapadukone.com itu memberi peluang kepada para peminat untuk mencuci mata serta membeli pakaian-pakaian eksklusif milik aktres terkenal tersebut.

Antara barangan aksesori termahal yang dijual di laman web itu adalah sebuah beg tangan berjenama Gucci Sylvie yang bernilai lebih RM3,000.

Seperti yang dilaporkan menerusi Vogue India, Deepika dikenali sebagai seorang yang sentiasa bersikap terbuka apabila berbicara mengenai masalah depresi yang dialaminya beberapa tahun yang lalu.


"Kepada setiap seorang daripada anda. Bersempena dengan #HariKesihatanMentalSedunia ini, saya berbesar hati untuk mengumumkan pelancaran The Deepika Padukone Closet di mana anda boleh membeli dan memiliki sebahagian daripada koleksi kegemaran yang ada dalam almari saya!"

"Pembelian anda akan membantu serta menyokong golongan yang bergelut dengan kesihatan mental menerusi Live Love Laugh Foundation," ujarnya menerusi kapsyen entri yang dimuat naik di laman Instagram miliknya.

Beralih ke perkembangan lakonan pula, Deepika akan dilihat menerusi filem terbaru arahan Meghna Gulzar berjudul "Chhapaak" yang diinspirasikan dari kisah benar mangsa serangan asid, Laxmi Agarwal.

Selain itu, Deepika juga akan bergandingan dengan suaminya, Ranveer Singh, menerusi sebuah filem biopik sukan mengenai kehidupan atlet kriket veteran Kapil Dev.

Diarahkan oleh Kabir Khan, filem berjudul "'83" itu akan ditayangkan di pawagam pada 10 April 2020.

(Sumber foto: Vogue India)
(Sumber artikel: Vogue India)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide