Buletin
"Dendam Pontianak" tonjol elemen klasik era 60-an


Tarikh disiarkan: 15 Ogos 2019


Pengarah Gavin Yap dan Glen Goei bersama pihak pengedar Primeworks Studios serta
barisan pelakon utama "Dendam Pontianak".

15 Ogos – Filem terbaru "Dendam Pontianak" bakal memberi kelainan kepada para penonton terhadap filem bergenre seram apabila ia mengangkat tema klasik zaman 60-an.

Menurut pengarah filem Gavin Yap, idea untuk menghasilkan filem itu tercetus melalui minatnya bersama seorang lagi pengarah dari Singapura, Glen Goei, terhadap filem-filem klasik mengenai Pontianak pada zaman 50-an dan 60-an.

"Idea kami sejak mulanya adalah untuk menghasilkan sebuah filem berdasarkan era tersebut. Bagi saya, perkara itu adalah sesuatu yang menarik kerana saya berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman pembikinan filem klasik.

"Saya amat teruja untuk menghasilkan filem ini kerana ia merupakan sesuatu yang baru bagi saya dan saya juga telah membuat penyelidikan yang teliti mengenai filem klasik Melayu," ujar Gavin yang ditemui pada majlis sidang media filem "Dendam Pontianak" di Kompleks Kraf, Kuala Lumpur semalam.


Gabungan idea kedua-dua pengarah itu telah berjaya membawa kelainan terhadap karakter Pontianak itu sendiri di mana ia bukan seperti Pontianak yang sering dilihat dalam filem-filem seram sebelum ini.

Filem itu merupakan hasil kerjasama dua buah syarikat produksi iaitu Primeworks Studios selaku pengedar dan Tiger Tiger Pictures yang berpangkalan di Singapura.

Menurut Glen dari Tiger Tiger Pictures, pihak produksi telah mengambil tempoh selama dua tahun untuk sesi uji bakat sebelum membuat pemilihan untuk pelakon-pelakon dalam filem tersebut.

"Pihak kami sangat teruja kerana berpeluang untuk bekerjasama dengan barisan pelakon yang hebat dan bekerjasama dengan Primeworks Studios sebagai rakan pengedar," ujar Glen lagi.

Dalam pada itu, Pengurus Besar Filem dan Drama, Primeworks Studios, Puan Nor Shahila Harun Shah berkata, pihaknya akan terus memperluaskan hubungan pemasaran dan pengedaran filem bersama pembikin filem dari serantau.

"Dendam Pontianak" berkisar mengenai Khalid dan Siti sedang membuat persiapan perkahwinan mereka sambil dibantu oleh penduduk kampung. Tidak lama selepas itu, penduduk kampung dilanda ketakutan apabila kejadian aneh mula menguasai kampung tersebut, termasuk kematian ngeri serta perkara ghaib menakutkan mengganggu mereka.

Situasi tersebut menyebabkan Khalid mengaku bahawa dia telah membunuh seorang gadis yang mengandungkan anaknya suatu masa dahulu. Gadis itu dipercayai kini kembali untuk membalas dendam sebagai Pontianak. Khalid kemudian mengumpulkan semua pemuda kampung itu untuk memburu Pontianak tersebut.

Filem itu dibintangi barisan pelakon hebat tanah air seperti Nur Fazura, Remy Ishak, Hisyam Hamid, Shenty Feliziana, Namron, Tony Eusoff, Nadiah M. Din dan Nadia Aqilah.

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Dendam Pontianak (Melayu) (12 September 2019)