Buletin
Dhanush teruja nantikan tayangan global filem Hollywood debutnya


Tarikh disiarkan: 12 Jun 2019


Dhanush ingin berlakon watak antagonis dalam filem.

12 Jun – Aktor Dhanush akui tidak sabar menantikan tayangan global filem Hollywood debutnya berjudul "The Extraordinary Journey of the Fakir" yang diadaptasi dari novel terlaris Romain Puertolas.

Menerusi laporan MumbaiMirror, tayangan perdana filem tersebut telah diadakan di Cannes, Perancis pada tahun lalu.

Penulis dan pengarah Ken Scott yang bekerjasama dalam menghasilkan skrip filem, telah datang ke Mumbai untuk membuat penyelidikan lanjut.

Dhanush berkata pembikin filem sudah mengaturkan semuanya dan dia hanya perlu menjalani penggambaran sahaja.

Pada mulanya, dia mengakui berasa agak ragu-ragu apabila salah seorang penerbit telah menghubunginya untuk menawarkan peranan watak utama dalam filem tersebut.


Bagaimanapun, selepas meneliti skrip, Dhanush terus membuat persetujuan walaupun membintangi filem antarabangsa bukanlah sesuatu yang dirancang.

Sekian lama tidak muncul dalam filem Hindi, Dhanush menegaskan bahawa dia tidak berniat untuk meninggalkan dunia Bollywood.

Kali terakhir dia dilihat berlakon adalah menerusi filem "Shamitabh" 2015 arahan R. Balki bersama aktor veteran Amitabh Bachchan dan aktres Akshara Haasan.

Pada masa yang sama juga Dhanush tidak mengasingkan antara dunia Hindi dan Tamil, sebaliknya menganggap ia sebagai satu industri besar yang diterima secara berbeza oleh penonton yang berbeza.

"Saya mahu berlakon sebagai seorang penjahat yang menjadi hero dalam sebuah filem," ujar Dhanush yang menyatakan hasratnya ingin melakonkan watak antagonis.

Filem pengembaraan komedi "The Extraordinary Journey of the Fakir" berkisar mengenai masalah golongan imigrasi yang berlaku di serata dunia.

Filem ini akan ditayangkan secara global bermula 21 Jun.

(Sumber artikel: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: Starviews)

Penulis: Nisa Irina