Buletin
Dayang Areeda ingin cuba watak berat


Tarikh disiarkan: 22 Julai 2019


Dayang Areeda ingin lonjakkan nama dalam industri atas usaha sendiri.

22 Jul – Pelakon Dayang Areeda mendedahkan keinginannya untuk menjayakan watak lasak dan berat yang banyak bermain dengan emosi dalam lakonannya pada masa akan datang.

Menurut laporan yang dipetik dari Harian Metro, Areeda ingin mencuba watak-watak sedemikian untuk mengembangkan bakatnya dalam dunia lakonan.

"Saya ingin mencuba pelbagai jenis karakter untuk profil karier. Saya banyak perhatikan, watak yang menyayat hati mampu menarik perhatian penonton sekali gus membantu karier pelakon berkenaan untuk terus berkembang," katanya.

Dalam pada itu, gadis kelahiran Sabah ini turut mengakui tidak berasa kecewa namanya kurang dikenali walaupun sudah empat tahun berkecimpung dalam industri.


"Saya sendiri kurang pasti kenapa selepas sekian lama nama masih suam-suam kuku. Mungkin juga kerana saya bersih daripada cerita panas dan belum berpeluang melakonkan watak yang terus tersemat di hati penonton.

"Kalau mahu katakan langsung tidak ada yang kenal, tidaklah begitu. Nama saya ada juga disebut walaupun hanya melakonkan watak pembantu tetapi situasi itu berlaku hanya ketika drama lakonan ditayangkan," tambah Areeda lagi.

Sebelumnya, Areeda pernah membintangi beberapa buah drama popular seperti "Sha & Shah", "Semusim Rindu", "Kekasih Paksa Rela" serta "Cik Sempurna".

Pelakon berusia 25 tahun ini juga berkata dia tidak percaya kontroversi mampu melonjakkan namanya serta lebih selesa berusaha dengan hasil titik peluhnya sendiri untuk kekal relevan dalam industri.

Terbaru, Areeda bakal membintangi drama terbaru terbitan David Teo berjudul "Cinta Belum Tamat Tempoh" yang turut menampilkan Fendy Bakry, Bella Astillah, Nafiz Muaz dan Hun Haqeem.

(Sumber foto: Dayang Areeda Instagram)

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Kolestrol Vs Cinta (Melayu) (14 September 2017)
Volkswagen Kuning (Melayu) (22 September 2016)





Ticket Pricing Guide