Buletin
Ebby Yus berani terima tawaran berlakon semula


Tarikh disiarkan: 17 Mei 2019


Masalah kesihatan tidak menghalang Ebby Yus untuk menunaikan ibadah puasa
dan menerima tawaran berlakon.

17 Mei – Memandangkan keadaan kesihatannya semakin pulih, pelakon dan pelawak Ebby Yus berkata dia berani menerima tawaran berlakon semula.

Sebelum ini, pelakon berusia 55 tahun itu telah menderita sakit buah pinggang tahap tiga selain menghidap gastrik kronik selama lebih setahun.

Memetik laporan dari BHOnline, Ebby baru sahaja selesai menjayakan sebuah sitkom berjudul "Jenaka Kampung Kalut (JKK) Raya".

"Diikutkan, sejak enam tahun lalu, saya tidak menerima tawaran berlakon pada bulan puasa. Alhamdulillah, rezeki saya bertambah tahun ini, tetapi saya hanya memilih tawaran yang bersesuaian dengan kudrat.


"Selain "JKK Raya", ada beberapa lagi tawaran lakonan yang saya sudah selesaikan, tetapi semuanya membabitkan penggambaran dalam studio," ujarnya.

Menurut Ebby lagi, dia turut menerima beberapa tawaran bagi penggambaran di luar namun jumlahnya tidak sebanyak dahulu

. Selain itu, Ebby turut dilihat berlakon dalam siri drama yang ditayangkan di TV1 berjudul "Serba Serbi Servis (3S)" bersama barisan pelakon veteran lain iaitu Imuda dan Sathiya.

Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid berkata pada mulanya dia agak gusar untuk menunaikan ibadah puasa memandangkan dia perlu makan setiap tiga jam.

Bagaimanapun, dia bersyukur kerana masih mampu cuba bertahan untuk berpuasa sejak hari pertama Ramadan.

Biarpun keadaannya bertambah baik, Ebby masih perlu menjalani rawatan berkala dan rawatan alternatif di Hospital Kuala Lumpur. Pelakon filem "Bujang Terlajak" ini juga mempunyai masalah lemah jantung.

Kali terakhir Ebby dilihat membintangi filem tempatan adalah menerusi filem "Awang Gerudi" dan "This Is Pilah The Movie" yang ditayangkan pada tahun lepas.

(Sumber foto: Ebby Yus Instagram)

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Awang Gerudi (Melayu) (27 Disember 2018)
This Is Pilah The Movie (Melayu) (21 Jun 2018)
Uncle Usin (Melayu) (19 April 2012)





Ticket Pricing Guide