Buletin
"Ejen Ali The Movie" buktikan industri animasi Malaysia makin maju


Tarikh disiarkan: 20 November 2019


Pihak Wau Animation bersama pihak Primeworks Studios dan kumpulan penaja dari
syarikat-syarikat besar tempatan.

20 Nov - Penghujung tahun 2019 bakal diwarnai dengan sebuah lagi filem animasi tempatan iaitu "Ejen Ali The Movie", yang menyusul selepas filem "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" dan "BoBoiBoy Movie 2" yang berjaya meraih kutipan tinggi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Datuk Ahmad Izham Omar, dia berharap filem "Ejen Ali The Movie" akan mencapai sasaran kutipan RM20 juta apabila melihat kualiti grafik yang digunakan dalam menghasilkan filem animasi tersebut.


"Filem "Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal" dan "BoBoiBoy Movie 2" dah berjaya membuka mata dunia terhadap industri animasi Malaysia. Sebenarnya Malaysia merupakan pusat animasi sejak dulu lagi tetapi tak ramai yang tahu.

"Kebanyakan syarikat animasi Malaysia bekerja di bawah syarikat luar. Mereka tak pernah berpeluang untuk menghasilkan kerja sendiri. Jadi inilah masa yang sesuai untuk kita perkenalkan industri filem animasi tempatan ke mata dunia," ujarnya.


Persembahan istimewa dari Ejen Ali dan Ejen Alicia bersama kumpulan Primeworks Studios.

Tambah Izham lagi, biarpun terdapat sebuah filem animasi antarabangsa yang bakal ditayangkan tidak lama lagi, namun dia yakin filem "Ejen Ali The Movie" ada kekuatan sendiri dan mampu bersaing di carta filem pawagam serta berharap ia berada di tiga tangga teratas.

"Saya berbangga dengan hasil kerja individu di belakang tabir filem ini kerana berjaya menghasilkan grafik bermutu tinggi. Rata-rata mereka yang menghasilkan filem animasi ini berusia dalam lingkungan usia 25 hingga 28 tahun," katanya.

Izham ditemui di majlis sidang media dan malam gala tayangan perdana "Ejen Ali The Movie" yang berlangsung di panggung GSC Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Pegawai Eksekutif Wau Animation yang juga bertindak sebagai pengarah "Ejen Ali The Movie", Usamah Zaid Yasin.


Penyanyi Aisyah Aziz hadir mempersembahkan lagu "Bukalah Matamu"
dari runut bunyi "Ejen Ali The Movie".

Seiring dengan tayangan filem itu, lagu pertama bagi runut bunyi "Ejen Ali The Movie" "Bukalah Matamu" turut dipersembahkan oleh penyanyi Aisyah Aziz buat julung kalinya pada malam tayangan perdana tersebut.

Lagu kedua berjudul "Kita Jaga Kita" merupakan nyanyian artis hip-hop tersohor tanah air, Altimet dengan gandingan Cuurley dan Malik Abdullah. Runut bunyi filem itu telah mendapat sentuhan hebat daripada Azri Yunus dan Hakim Kamal, yang juga menjadi tulang belakang siri animasi "Ejen Ali".

Ejen Ali merupakan seorang remaja berusia 12 tahun telah direkrut menjadi sebagai seorang perisik untuk agensi rahsia MATA secara tidak sengaja. MATA telah membaik pulih alat ciptaannya Atlas untuk menaik taraf IRIS menjadi IRIS NEO di luar pengetahuannya. Konflik timbul apabila alat ciptaan baru itu mula diuji sebagai peranti asas bagi semua ejen MATA, menyebabkan Ali mula mempersoalkan kedudukannya dalam agensi tersebut.

Dengan menelan kos sebanyak RM6.5 juta, filem animasi itu akan ditayangkan serentak di tiga buah negara iaitu Malaysia, Singapura dan Brunei.

Jadi jangan lupa untuk 'bertindak segera' dan menonton "Ejen Ali The Movie" di pawagam berdekatan bermula 28 November ini!

Penulis: Nisa Irina

Anda Mungkin Juga Suka:
To read this article in English, CLICK HERE

Filem Berkaitan:
Ejen Ali: The Movie (Melayu) (28 November 2019)





Ticket Pricing Guide