Buletin
Elly Mazlein bakal kahwin tahun depan


Tarikh disiarkan: 25 Jun 2019


Elly Mazlein gembira anaknya Sephia dapat menerima bakal suami dalam hidupnya.

25 Jun – Pelakon dan pengacara Elly Mazlein bakal mendirikan rumah tangga bersama kekasih hatinya yang berusia 28 tahun pada tahun depan.

Elly atau nama sebenarnya Sharifah Aida Mazlina binti Syed Hanafi berhasrat untuk mengadakan majlis perkahwinan yang lebih besar.

"Saya anggap ini sebagai perkahwinan yang pertama buat diri saya. Apa sahaja yang saya tak pernah rasa sebelum ini, saya akan buat dalam majlis kali ini.

"Perkahwinan sebelum ini berlangsung ketika mama saya baharu sahaja meninggal dunia. Majlis pun dibuat di surau sahaja," ujar Elly menerusi laporan yang dipetik dari mStarOnline.

Menurut pelakon drama "Kau Yang Pertama" ini, dia teringin untuk merasa majlis yang lebih meriah memandangkan bakal suaminya belum pernah berkahwin.

Elly turut meluahkan rasa teruja kerana anak perempuannya Sephia sangat selesa dengan bakal suaminya dan dapat menerima lelaki itu dalam keluarganya.


Tambahnya yang dikenali dengan gelaran Kak Lina Pom Pom, dia berasa bersyukur kerana dipertemukan dengan lelaki itu di samping rezekinya semakin murah.

Segala butiran lebih lanjut mengenai majlis itu bakal diumumkan kemudian bila tiba masa yang sesuai. Elly juga akan mendedahkan wajah bakal suaminya pada malam berinai nanti.

Dalam perkembangan lain, Elly baru sahaja terlibat dengan pelancaran program realiti muzikal komedi terbaru "Muzikal Lawak Superstar" di Hard Rock Café, Kuala Lumpur.

Dia juga terlibat dengan penggambaran drama TV3 baru berjudul "Ajari Playboy Itu" dan digandingkan bersama pelakon Fendy Bakry.

Menerusi drama "Kau Yang Pertama", Elly akan berlakon bersama dua orang peneraju utama iaitu Fikry Ibrahim dan Farah Nabilah.

(Sumber foto: Elly Mazlein Instagram)

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Kapsul (Melayu) (17 September 2015)
Awan Dania The Movie (Melayu) (14 Mac 2013)