Buletin
Elyana anjur konsert bantu pesakit kanser


Tarikh disiarkan: 19 April 2019


Elyana teruja dan tidak sabar untuk jayakan konsert pertamanya.

19 Apr - Pelakon dan penyanyi Elyana bakal mengadakan konsert "Elyana: Jadi Diriku 19 Live In Concert" tidak lama lagi.

Selain berhibur, sebahagian daripada jualan tiket konsert itu akan disumbangkan kepada pesakit kanser menerusi Majlis Kanser Nasional (MAKNA).

Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal yang juga merupakan pesakit kanser limfoma tahap empat, berkata konsert ini dibuat bukan sahaja untuk mengumpul dana bagi membantu pesakit kanser lain sahaja, tetapi ia juga mahu membuktikan kekuatannya melawan penyakit itu.

"Saya mahu memberi inspirasi kepada semua pesakit kanser di luar sana supaya berhenti meratap dan terus berjuang melawan apa juga sakit yang kita ada.


"Saya berharap sumbangan yang saya berikan ini boleh membantu rakan-rakan senasib dengan saya," ujarnya yang dipetik dari Kosmo!

Tambah pelakon "Dukun" itu lagi, penganjuran konsertnya ini juga adalah bagi meraikan ulang tahun ke-19 dalam industri dan hadiah buat peminat yang selama ini tidak pernah berhenti menyokong kerjaya seninya.

Artis berusia 32 tahun ini nyata teruja kerana ia merupakan konsert pertamanya sejak dia bergelar penyanyi ketika berusia 15 tahun.

Konsert "Elyana: Jadi Diriku 19 Live In Concert" akan berlangsung di Bentley Music Auditorium, Mutiara Damansara pada 6 Julai depan.

(Sumber foto: Elyana Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Dukun (Melayu) (5 April 2018)