Buletin
Erma Fatima: Hanya 10 peratus sahaja pelakon yang benar-benar berbakat


Tarikh disiarkan: 11 Mac 2019


Erma Fatima bimbang dengan keadaan industri seni yang semakin ketandusan pelakon berbakat.

11 Mar - Pengarah dan pelakon filem tersohor tanah air Erma Fatima tampil mendedahkan bahawa industri seni tempatan kini berdepan masalah kekurangan pelakon berbakat walaupun industri kini dibanjiri dengan pelakon baru.

Menurut Erma atau nama sebenarnya Fatimah Rahmad, ketika ini industri seni tempatan hanya mempunyai 10 peratus sahaja pelakon yang benar-benar berbakat, berpotensi dan mempunyai kredibiliti, manakala selebihnya hanyalah sekadar 'pasu bunga'.

"Bila ada bakat kemudian diasah, pelakon ini boleh pergi jauh. Kalau masuk sekadar jadi lalang yang akan mati sendiri tanpa perlu dibunuh, buat apa.

"Dalam industri pun ada 'pasu bunga' yang hanya sekadar jadi hiasan skrin televisyen dan kadang-kadang 'menyemak' serta merosakkan industri dengan gosip," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.


Pengarah Terbaik Festival Filem Antarabangsa Pyongyang ke-7 menerusi filem "Perempuan Melayu Terakhir" ini berkata demikian selepas diberi tanggungjawab sebagai juri uji bakat lakonan pada siri jelajah Drama Festival Kuala Lumpur 2019 (DFKL 2019) baru-baru ini.

Dalam pada itu, Erma berkata sepanjang sesi uji bakat yang berlangsung dia cuba mencari pelakon pelapis kepada Remy Ishak dan Zul Ariffin, namun kebanyakan yang hadir tidak mencapai standard.

Isu ini sudah pun diperkatakan sejak beberapa tahun lalu apabila industri secara tiba-tiba dibanjiri dengan pelakon-pelakon baru yang hanya bersandarkan kepada rupa paras tanpa mempunyai bakat lakonan.

(Sumber foto: Erma Fatima Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser