Buletin
Erma Fatima tak kisah teater arahannya didakwa sindir orang Melayu


Tarikh disiarkan: 19 Ogos 2019


Teater terbaru arahan Erma Fatima diterajui oleh Syafiq Kyle dan Janna Nick.

19 Ogos – Pengarah dan pelakon terkenal, Erma Fatima berkata dia tidak ambil pusing dengan dakwaan segelintir pihak yang mengatakan teater arahannya "Teater Melayu-Pawana Isabell" menyindir golongan Melayu dan keadaan semasa ketika ini.

"Jika ada pihak terasa dan menganggap teater ini menyindir orang Melayu, terpulanglah kepada persepsi masing-masing. Sebagai pengkarya saya berhak untuk membuka mata orang Melayu yang masih diulit mimpi ketika ini.

"Saya tidak boleh halang jika penonton mahu kaitkan cerita ini dengan keadaan dan situasi orang Melayu sekarang. Ia terpulang pada penilaian dan interpretasi penonton untuk menterjemahkan karya ini nanti," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.


Terdahulu, pementasan teater ini menjadi perhatian ramai selepas ada pihak mendakwa teater ini mengetengahkan sikap negatif seperti rasuah, malas dan tidak bersatu yang ditujukan kepada orang Melayu.

Dalam pada itu, Erma yang tetap dengan pendiriannya berkata karya terbarunya ini adalah tanggungjawabnya terhadap bangsa dan tanah air.

"Teater Melayu-Pawana Isabella" ini menampilkan barisan pelakon hebat seperti Syafiq Kyle, Janna Nick, Azar Azmi, Datuk Afdlin Shauki dan ramai lagi.

Pementasan teater ini akan dipentaskan pada 21 hingga 31 Ogos ini di Panggung Sari, Istana Budaya.

(Sumber foto: Erma Fatima Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser