Buletin
Erra Fazira sentiasa jaga batas lakonan


Tarikh disiarkan: 3 September 2019


Erra Fazira tidak kisah jika ada pihak yang menggelarnya sebagai hajah.

3 Sep – Biarpun baru sahaja bergelar Hajah, namun pelakon Erra Fazira tidak merancang untuk menamatkan karier seninya, namun bertegas akan meletakkan batas yang tertentu sebagai seorang pelakon wanita berhijab.

"Apabila saya sudah membuat keputusan untuk berhijab, maka secara tidak langsung lakonan saya terbatas. Perkara ini harus ada kerjasama daripada pihak produksi juga.

"Jika mereka tahu seseorang pelakon itu sudah berhijab atau sudah mengerjakan haji, jadi watak yang ditawarkan haruslah sesuai dengan status pelakon berkenaan," ujarnya yang ditemui di majlis sidang media selepas tayangan perdana filem "Wangi" di mmCineplexes eCurve Damansara baru-baru ini.

Disoal jika ada meletakkan had lakonan, Erra menjelaskan dia tidak pernah menetapkan had umur untuk berhenti berlakon kerana ia adalah periuk nasinya.

"Bagi saya ini adalah satu bentuk rezeki dari Tuhan, jadi kita tiada hak untuk meletakkan had. Kita hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan.

"Saya adalah seorang yang tidak suka merancang sesuatu perkara yang sukar digapai. Jika berkemampuan, bolehlah berhenti berlakon lebih awal, tetapi saya bekerja dan menghadapi jatuh bangun sendiri," katanya.


Tambahnya lagi, demi meneruskan kariernya, dia perlu sentiasa berfikir secara logik dan bertindak rasional serta sentiasa berdoa agar Tuhan memperluaskan pintu rezekinya.

Menyifatkan pengalaman menunaikan ibadat haji sebagai kenangan paling indah dalam hidupnya, Erra berkeinginan untuk kembali ke tanah suci jika berkesempatan dan dimurahkan rezeki.

Selepas pulang ke tanah air, Erra berkata dia menerima sahaja jika ada pihak yang menggelarnya sebagai hajah kerana dia menganggap panggilan itu sebagai peringatan kepada dirinya supaya sentiasa menjaga tingkah laku.

Beralih ke perkembangan baru, usai sahaja mempromosikan filem "Wangi", Erra akan memberi fokus terhadap promosi lagu terbarunya ciptaan Hafiz Hamidun berjudul "Menangkah Cinta" pada hujung September atau awal Oktober ini.

Diarahkan oleh Yeop Hitler, filem "Wangi" turut dibintangi barisan pelakon lain seperti Nabila Huda, Sharnaaz Ahmad, Syazwan Zulkifly dan Nik Adam Mika. Ia akan ditayangkan di pawagam bermula 5 September ini.

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Wangi (Melayu) (5 September 2019)