Buletin
Fad Anuar ingin dikenali sebagai ikon persilatan serba boleh


Tarikh disiarkan: 7 Oktober 2019

Biarpun bergelar pelakon, Fad Anuar mengakui bahawa dia tidak mengejar populariti.
Biarpun bergelar pelakon, Fad Anuar mengakui bahawa dia tidak mengejar populariti.

7 Okt – Pelakon baru Fad Anuar memberitahu bahawa dia ingin memperkembangkan kariernya dengan mempelbagaikan pembawaan watak dalam lakonannya.

Mahir dalam dunia persilatan, Fad berkata dia mahu dikenali sebagai ikon persilatan Malaysia yang serba boleh dan tidak hanya tertumpu kepada watak aksi semata-mata.

"Buat masa ini saya mengutamakan lakonan dan seni bela diri saya letak di tempat kedua. Saya juga ingin dikenali sebagai pelakon yang versatil dan mempunyai kualiti, saya tak perlukan kontroversi.

"Selain itu, saya mahu mengangkat warisan kita Melayu seperti pakaian tradisional dan seni mempertahankan diri seperti silat dalam lakonan saya selepas ini," katanya yang ditemui di malam gala tayangan perdana filem "Geran" di mmCineplexes eCurve, Damansara, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Fad memberitahu bahawa dia tertarik untuk menerima tawaran filem "Geran", yang juga merupakan filem sulungnya, kerana tema persilatan dan jalan ceritanya yang menarik.


Menerusi filem itu, Fad menggalas watak sebagai Mat Arip, anak kepada Pak Nayan yang terjebak dengan dunia perjudian dan lumba kereta secara haram serta mempertaruhkan geran tanah pusaka milik bapanya.

Bercakap mengenai lakonannya dalam filem yang penuh dengan babak aksi tersebut, anak jati Terengganu itu mendedahkan dia telah berdepan pelbagai cabaran sepanjang terlibat dengan penggambaran yang mengambil tempoh selama 30 hari.

"Selain daripada perlu mengkaji dan mempelajari loghat Utara, saya juga perlu melakonkan satu babak aksi pergaduhan dalam sebuah bas selama sehari suntuk dan hanya dapat berehat sebentar untuk makan.

"Walaupun sudah kekurangan tenaga, tetapi saya perlu kuatkan diri juga untuk meneruskan penggambaran bagi babak-babak terakhir," tambahnya lagi.

Sebelumnya, Fad pernah membintangi sebuah drama berjudul "Dia Anak Jeneral" bersama Fattah Amin dan seterusnya muncul dalam drama slot Akasia TV3 berjudul "Lelaki Itu Pemilik Hatiku" serta "Sumpah Ibu".

Diarahkan oleh Areel Abu Bakar, filem "Geran" turut dibintangi oleh barisan pelakon seperti Namrom, Khoharullah, Feiyna Tajudin, Taiyuddin Bakar, Azlan Komeng, Aeril Zafrel, Adam Shahz dan Nizam Zaidi.

Filem "Geran" bakal menggegarkan pawagam di seluruh negara bermula 10 Oktober ini.

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Geran (Melayu) (10 Oktober 2019)