Buletin
Fasha Sandha kesal dengan sikap tak tepati masa sebuah produksi


Tarikh disiarkan: 4 Julai 2019


Fasha Sandha berang dengan sikap 'janji Melayu' oleh sebuah produksi.

4 Jul – Pelakon popular Fasha Sandha meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap sebuah rumah produksi apabila tidak menepati waktu penggambaran seperti yang ditetapkan.

Menurut Fasha, apa yang membuatkan lebih berang apabila dia hanya dimaklumkan mengenai waktu penggambaran ditukar waktu selepas tiba di lokasi penggambaran.

"Semalam dengan yakin bagi 'call time' pukul 6 pagi. Nak tak nak kena keluar pada pukul 5.15 pagi sampai tidak sempat Subuh.

"Pukul 5.50 pagi kita dah sampai set sunyi sepi. Selepas itu, penolong pengarah sms (khidmat pesanan ringkas) cakap tukar waktu penggambaran. Sebab awak dah terlambat jadi suka hati tukar waktu penggambaran," luah Fasha di laman sosial miliknya yang dipetik dari Kosmo!

Tambah pelakon "Anak Mami Nasi Kandaq" ini, tidak semua produksi mampu untuk menepati 'call time' yang ditetapkan.


Perkara seperti itu yang membuatkan dia tidak mahu lagi berlakon kerana bosan melayan istilah 'janji Melayu' produksi tempatan.

Isteri kepada pelakon Aidil Aziz ini bagaimanapun tidak menyatakan siapakah produksi tersebut tetapi dilaporkan dia kini sedang menjalani penggambaran telefilem berjudul "Coklat Chip Special" arahan Datuk Jurey Latiff.

Ramai yang mengetahui terutama dari kalangan penggiat seni mengenai sikap Fasha yang cukup berdisiplin dan profesional dalam setiap projek lakonannya.

Walaupun sudah berdekad dalam industri, dia masih mengekalkan tahap disiplinnya iaitu sentiasa tiba awal di lokasi penggambaran.

(Sumber foto: Fasha Sandha Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Anak Mami Nasi Kandaq (Melayu) (6 Julai 2016)
CICAK-MAN (Melayu) (7 Disember 2006)