Buletin
Fauziah Latiff anggap "Mahathir: The Journey" naskhah berharga


Tarikh disiarkan: 15 November 2019

Fauziah Latiff ingin cabar diri bawa watak Tun Dr Siti Hasmah dalam filem pertamanya.
Fauziah Latiff ingin cabar diri bawa watak Tun Dr Siti Hasmah dalam filem pertamanya.

15 Nov – Penyanyi terkenal Fauziah Latiff meluahkan rasa terharu dan teruja kerana diberikan tanggungjawab untuk menggalas watak isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, menerusi filem biografi "Mahathir: The Journey".

Menurut Fauziah atau nama sebenarnya Siti Fauziah binti Sheikh Abdul Latiff, dia memberanikan diri untuk menerima tawaran itu kerana ingin mencabar kemampuan diri serta mempelajari perkara baru dalam karier seninya.

"Filem ini merupakan sebuah naskhah yang sangat berharga buat saya dan generasi baru serta negara kita sendiri. Sebagai anak Malaysia, kita patut berbangga mempunyai pemimpin seperti Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah.


"Tun Hasmah adalah seorang isteri, ibu dan nenek. Dia juga memberi inspirasi kepada saya sebagai isteri yang sentiasa menjadi tulang belakang buat suami tak kira dalam apa jua situasi," katanya yang ditemui di majlis pelancaran dan sidang media filem "Mahathir: The Journey" di Hotel Sheraton, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Sebagai persiapan, Fauziah yang lebih mesra disapa Gee berkata, dia banyak meluangkan masa untuk menonton video-video Tun Dr Siti Hasmah di saluran YouTube bagi mengkaji dan memahami perwatakan beliau.

"Saya masih mendalaminya, ini satu cabaran yang sangat berat dan begitu besar tetapi saya anggap ia satu cabaran. Malah ini adalah filem pertama saya. Saya pun masih belajar dan ia adalah satu penghormatan," tambahnya lagi.


Fauziah Latiff dan Azhar Amir sebagai pasangan Tun Dr Mahathir dan Tun Dr Siti Hasmah.

Menurutnya lagi, memandangkan terdapat sebuah lagi filem biografi Tun Dr Mahathir iaitu "Hasmah – Bila Deh Bertemu Det" yang dibintangi Hasnul Rahmat dan Nad Zainal, Fauziah tidak kisah malah bersedia jika terdapat pihak yang mengkritik serta membandingkan pembawaan watak mereka.

"Bagi saya Nad adalah seorang pelakon yang berbakat dan lebih berpengalaman. Malah sepatutnya penonton lebih menitik beratkan dan memahami jalan penceritaan filem berbanding pelakon itu sendiri kerana tanggungjawab kami berbeza," katanya.

Untuk rekod, Fauziah pernah terlibat dengan pementasan teater seperti "Rubiah" 1998 dan "Muzikal Tun Razak" 2009 selain membuat penampilan istimewa menyanyikan lagu dalam filem "Pak Tam Duda" 1989, "Memori" 1991 dan "Nadia" 1992.

Filem "Mahathir: The Journey" turut dibintangi oleh Azhar Amir (Tun Dr Mahathir Mohamad), Afique Hussain (Dato Seri Mukhriz Mahathir), Ning Baizura (Datin Paduka Marina Mahathir), Hilal Azman (Dato' Seri Anwar Ibrahim), Dian P Ramlee (Dato' Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail), Lisdawati (Nurul Izzah), Dazrin Kamarudin (Syed Saddiq) dan ramai lagi.

Filem "Mahathir: The Journey" menyingkap kehidupan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selepas melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2003 sehingga dilantik semula pada 2018.

Diarahkan oleh Profesor Mohamad Hatta Azad Khan, filem itu dijangka akan ditayangkan pada Julai 2020, bersamaan hari ulang tahun kelahiran Tun M.

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide