Buletin
Feiyna Tajudin lebih selesa jayakan watak aksi


Tarikh disiarkan: 8 Oktober 2019

Feiyna Tajudin ingin menjaga imej wanita bertudung walaupun membawa watak aksi.
Feiyna Tajudin ingin menjaga imej wanita bertudung walaupun membawa watak aksi.

8 Oct – Selepas beberapa kali dilihat di kaca televisyen, pelakon Feiyna Tajudin tampil membuat debut di layar perak menerusi filem terbaru bertemakan persilatan berjudul "Geran".

Menurut Feiyna, sejak dipilih untuk membintangi filem itu, dia kini mempunyai motif dan hala tuju dalam lakonan kerana temanya selari dengan minatnya terhadap seni bela diri tradisional asli tersebut.

Menerusi "Geran", watak yang dibawakan oleh Feiyna agak berbeza dari watak-watak yang pernah dibawanya sebelum ini kerana ia memerlukannya untuk melakukan lagak aksi sendiri.

"Selama ini saya hanya berlakon drama dan banyak menggunakan ekspresi muka. Sebenarnya berlakon watak lembut lebih sukar daripada watak kasar.

"Sebenarnya saya lebih selesa bawakan watak aksi seperti dalam filem ini kerana saya dapat menjadi diri sendiri," katanya yang ditemui pada malam gala tayangan perdana filem "Geran" di mmCineplexes, Damansara, baru-baru ini.


Dalam pada itu, demi mempertahankan imej wanita bertudung, Feiyna mendedahkan jurulatihnya telah mengajar koreografi serta teknik-teknik untuk berlawan tanpa perlu bergelut dengan lawannya.

"Insya-Allah, kalau boleh saya akan cuba mengelakkan adegan-adegan bersentuhan untuk projek seterusnya. Bukan bermakna kita sombong, tetapi jika kita hormat orang, orang akan hormat kita juga," tambahnya lagi.

Sebelumnya, Feiyna pernah membintangi drama-drama bersiri seperti "Mat Rukun", "Sayangku Kapten Mukhriz" dan "Cinta Teruna Kimchi".

Di samping itu, Feiyna turut memberitahu jika ditawarkan untuk berlakon dalam naskhah-naskhah yang mengangkat tema seni bela diri warisan Melayu, dia akan mempertimbangkan tawaran tersebut.

Diarahkan oleh Areel Abu Bakar, filem "Geran" turut dibintangi oleh barisan pelakon seperti Namrom, Khoharullah, Fad Anuar, Taiyuddin Bakar, Azlan Komeng, Aeril Zafrel, Adam Shahz dan Nizam Zaidi.

Filem "Geran" bakal menggegarkan pawagam di seluruh negara bermula 10 Oktober ini.

Penulis: Nisa Irina



Filem Berkaitan:
Geran (Melayu) (10 Oktober 2019)