Buletin
Fikry Ibrahim cabar diri galas watak lelaki lembut


Tarikh disiarkan: 21 Ogos 2019


Fikry Ibrahim lega peminat boleh menerima lakonannya menjayakan watak baru.

21 Ogos – Ingin menampilkan kelainan dalam lakonannya, pelakon Fikry Ibrahim mendedahkan dia telah menukar watak hero kepada watak lelaki lembut dalam drama baru "Kau Yang Pertama".

"Pada mulanya saya membawa watak ini sebagai lelaki normal atau hero yang sering dipaparkan dalam drama lain. Malangnya, saya tidak nampak kelainan. Selepas berbincang, kami menukar watak Farhan menjadi lelaki lembut, tetapi tidak berlebihan.

"Sebenarnya tidak mudah untuk saya menjayakan watak tersebut. Terdapat babak yang terpaksa dilakukan berulang kali kerana perwatakan lembut yang berlebihan," katanya yang dipetik dari Kosmo Online.

Bagaimanapun, pelakon itu mengakui berasa agak serba salah untuk menjayakan watak itu kerana khuatir ia akan meninggalkan kesan negatif kepada penonton namun berasa lega apabila tidak ramai yang mempersoalkan perkara berkenaan.


Menerusi drama itu, Fikry atau nama sebenarnya Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, sekali lagi digandingkan dengan pasangan pelakonnya dalam drama "Cik Reen & Encik Ngok Ngek", iaitu Farah Nabilah.

"Kau Yang Pertama" mula ditayangkan di slot Akasia TV3 bermula 12 Ogos dan menampilkan barisan pelakon lain seperti Tasha Shilla, Elly Mazlein, Yusuf Bahrin, Wan Sharmila, Sheila Mambo, Amar Asyraf, Nasz Sally dan Laila Nasir.

Beralih ke perkembangan baru, Fikry dilaporkan bakal bekerjasama dengan pengarah Rashid Sibir selain ingin mencari peluang membawa watak gelap dan psiko jika berpeluang untuk membintangi sebuah filem.

(Sumber foto: Fikry Ibrahim Instagram)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide