Buletin
Fikry Ibrahim semakin menonjol dalam lakonan


Tarikh disiarkan: 21 Mei 2019


Walaupun semakin dikenali sebagai hero drama, Fikry Ibrahim masih
mahu terlibat dalam dunia komedi.

21 Mei – Nama pelakon Fikry Ibrahim kini dilihat semakin melonjak naik dalam dunia lakonan menerusi beberapa buah drama serta telefilem yang dibintanginya.

Fikry yang sebelum ini dikenali menerusi program "Lawak Solo 2016" berkata walaupun semakin giat berlakon, dia mengakui bahawa tidak pernah berhasrat untuk melupakan dunia komedi.

Memetik laporan dari SinarHarian, pemilik nama Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim ini tidak menyangka dirinya berpeluang untuk menjayakan drama serius berbanding program komedi.

"Memang saya akui tidak banyak terlibat dengan program komedi kerana kebetulan tawaran yang datang lebih banyak dari bidang lakonan, terutamanya drama dan telefilem menyebabkan peminat lebih banyak nampak saya di situ.

"Bagaimanapun, itu bukan bererti saya melupakan bidang komedi, malah saya nak buat sangat dan mahu terlibat secara aktif dalam bidang ini," ujar Fikry.


Menurutnya lagi, dia ada menerima tawaran untuk bidang itu cuma masa tidak mengizinkan serta dia terikat dengan komitmen lain.

Dalam pada itu, hero drama ini juga sedang sibuk berniaga Baju Melayu sepanjang bulan Ramadan ini di kampung halamannya di Kedah.

Fikry bersyukur kerana perniagaannya mendapat sambutan yang luar biasa daripada pembeli semasa minggu pertama dan kedua Ramadan.

Pada masa yang sama, Fikry juga terlibat dalam penggambaran drama terbaru bersama pelakon Farah Nabilah sepanjang bulan ini.

Sebelum ini, kedua-dua pelakon itu meminta sedikit kelonggaran dari pihak produksi berkenaan jadual kerja sebelum memulakan penggambaran drama ini bagi meluangkan masa bersama keluarga masing-masing.

Drama 28 episod berjudul "Kau Yang Pertama" itu dijangka bakal disiarkan di slot Akasia TV3 pada Ogos depan.

(Sumber foto: Fikry Ibrahim Instagram)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide