Buletin
Filem biopik Perdana Menteri Narenda Modi direalisasikan


Tarikh disiarkan: 19 September 2019


Poster pertama filem "Mann Bairagi" yang dikongsikan oleh Akshay Kumar di laman sosial.

19 Sep – Segala spekulasi mengenai filem biopik Perdana Menteri Narenda Modi akhirnya terjawab apabila Sanjay Leela Bhansali mengumumkan pembikinan filem itu dengan judul "Mann Bairagi".

Pengumuman itu dibuat bersempena dengan hari ulang tahun kelahiran Perdana Menteri itu yang ke-69. Filem itu berkisar mengenai kisah di sebalik kehidupan beliau yang tidak diketahui umum.

"Kisah ini telah dikaji sehabis baik dan kisah kehidupan Perdana Menteri kami sebagai seorang pemuda sangat menarik minat saya.


"Filem ini mengandungi mesej yang kuat untuk disampaikan kepada penonton. Saya rasa ia adalah sebuah kisah yang perlu diceritakan kepada semua orang," ujar Bhansali.

Seperti yang dilaporkan menerusi Times of India, filem itu telah ditulis dan diarahkan oleh Sanjay Tripaathy, yang berharap filem mengenai pemimpin hebat itu dapat menyentuh emosi semua penonton.

Dalam pada itu, aktor Akshay Kumar turut berkongsikan poster pertama filem tersebut menerusi laman sosial dengan ucapan ulang tahun kelahiran sebagai penghargaan buat Perdana Menteri berkenaan.

Rata-rata selebriti dan pembikin filem Bollywood lain seperti Arjun Kapoor, Kangana Ranaut, Karan Johar dan Vivek Oberoi turut memberi penghargaan yang sama kepada beliau.

(Sumber foto: Times Now News)
(Sumber artikel: Times of India)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide