Buletin
Penggambaran filem "Coolie No. 1" tertangguh akibat kebakaran


Tarikh disiarkan: 16 September 2019


"Coolie No. 1" dibintangi oleh Sara Ali Khan dan Varun Dhawan.

16 Sep – Akibat kebakaran besar yang berlaku di set penggambaran filem "Coolie No. 1" baru-baru ini, pihak produksi terpaksa menangguhkan penggambaran selama dua minggu.

Filem itu diterajui oleh aktor Varun Dhawan dan aktres Sara Ali Khan. Seperti yang dilaporkan menerusi Hindustan Times, pihak produksi dan orang awam tidak mengalami sebarang kecederaan.

Pihak bomba dan polis dikejarkan ke tempat kejadian sebaik sahaja menerima laporan kebakaran yang berlaku kira-kira jam 1:00 pagi di studio Filmistan, Goregaon itu.


"Kami menerima laporan kira-kira jam 1:15 pagi dan bergegas ke tempat kejadian secepat mungkin. Api berjaya dipadamkan pada pukul 4:15 pagi. Tiada sebarang kecederaan dilaporkan," jelas seorang pegawai bomba yang terbabit.

Punca kejadian dikatakan berlaku ketika pihak produksi sedang menukar set penggambaran apabila salah satu lampu studio menjadi terlalu panas, menyebabkan ia terbakar dan api merebak ke seluruh set.

Dalam pada itu, penerbit Jackky Bhagnani mengucapkan terima kasih kepada pihak bomba dan polis Mumbai kerana segera menghulur bantuan ketika kejadian tersebut.

Pihak penerbit akan memfailkan tuntutan terhadap wakil insurans filem atas kerugian yang dialami dan kerosakan di set penggambaran yang dianggarkan lebih kurang 25 peratus.

(Sumber foto: Tribune & Masala)
(Sumber artikel: Hindustan Times)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide