Buletin
Filem "Housefull 4" cepat siap kerana Akshay Kumar


Tarikh disiarkan: 11 Oktober 2019


Akshay Kumar sememangnya terkenal dengan sikap dedikasi dan berdisiplinnya
apabila terlibat dengan penggambaran filem.

11 Okt – Percaya atau tidak bintang filem terkenal Bollywood, Akshay Kumar menjadi punca utama filem yang dinanti-nantikan ramai "Housefull 4" berjaya disiapkan lebih awal daripada perancangan awal.

Menurut laporan dari Masala, penggambaran filem itu sepatutnya berlangsung selama 90 hari tetapi ia berjaya disiapkan dalam tempoh 65 hari sahaja.

Dedikasi yang tinggi dan sentiasa menepati waktu telah memberi motivasi kepada seluruh barisan pelakon filem itu termasuk kru produksi membuatkan mereka sentiasa bersemangat untuk memberikan yang terbaik ketika di set penggambaran sekaligus tidak membazirkan masa.

Sikap positif yang ditonjolkan oleh aktor itu dipuji oleh pengarahnya iaitu Farhad Samji yang kagum dengan dedikasi Akshay.


"Selalunya filem seperti "Housefull 4" yang dilakukan dalam skala besar akan mengambil masa yang lama untuk disiapkan berbanding filem-filem lain.

"Bagaimanapun, dedikasi dan sikapnya yang sentiasa menepati waktu membantu kami untuk menyiapkan filem ini hanya dalam masa 65 hari saya dan ini merupakan sesuatu yang cukup luar biasa.

"Akshay bersama Bobby Deol, Riteish Deshmukh serta barisan pelakon wanita memberikan komitmen yang cukup tinggi setiap kali berada di set penggambaran."

Filem "Housefull 4" dijadualkan akan menemui penonton pada 25 Oktober ini.

(Sumber: Masala)

(Sumber foto: Financial Times)

Penulis: Ashraf Nasser






Ticket Pricing Guide