Buletin
Penggambaran filem "Inshallah" akan dijalankan di Florida


Tarikh disiarkan: 21 Jun 2019


Alia Bhatt teruja dapat berganding dengan bintang terkenal Salman Khan dalam "Inshallah".

21 Jun – Sesi penggambaran bagi filem "Inshallah" yang dibintangi Salman Khan dan Alia Bhatt akan dijalankan di Florida, Amerika Syarikat.

Pengarah Sanjay Leela Bhansali bersama kumpulan produksi kini sedang mencari lokasi yang sesuai bagi penggambaran filem tersebut di sana.

Menurut satu sumber terdekat, mereka akan berada di negara itu selama tiga minggu akan datang bagi mencari lokasi yang ideal.

"Antara lokasi yang mereka cadangkan ialah jalan raya di Orlando dan pantai di Miami," ujar sumber tersebut menerusi laporan yang dipetik dari Pinkvilla.

Bhansali dan Salman kembali berkolaborasi bagi filem romantik ini selepas dua dekad. Kali terakhir mereka bekerjasama adalah menerusi filem "Hum Dil De Chuke Sanam".

Salman akan membawa watak seorang ahli perniagaan berusia 40 tahun yang bekerja di Orlando.


Karakter yang dibawa oleh Alia adalah seorang pelakon berusia pertengahan 20-an dari satu tempat berdekatan sungai Ganga.

Sebelum berangkat ke Amerika, Bhansali dan kumpulan produksi telah melawat bandar Varanasi, Rishikesh dan Haridwar.

Terdapat laporan yang mengatakan Bhansali telah mengambil masa selama hampir dua tahun bagi menghasilkan skrip filem tersebut.

"Inshallah" dijangka akan difilemkan bermula pada hujung bulan Ogos, selepas Salman selesai menjalani penggambaran filem aksi "Dabangg 3".

Dalam pada itu, Alia pula bakal menamatkan penggambaran filem "Sadak 2" dan "Brahmastra" yang menampilkan Ranbir Kapoor.

(Sumber artikel: Pinkvilla)
(Sumber foto: msn.com)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide