Buletin
Filem "Taare Zameen Par" bakal punya 'remake' dalam bahasa Cina


Tarikh disiarkan: 17 Mei 2019


Aamir Khan mempunyai peminat dalam kalangan masyarakat China seperti
bintang Bollywood lain.

17 Mei – Filem "Taare Zameen Par" dibintangi aktor terkenal Aamir Khan yang ditayangkan pada 2007 kini akan dibikin semula dalam bahasa Cina.

Menurut laporan yang dipetik dari IndiaToday, filem itu adalah salah satu dari sembilan buah filem India yang ditayangkan dengan sari kata Bahasa Inggeris di China bagi menandakan ulangtahun ke-60 hubungan diplomatik Indo-China pada 2010.

Sejak kebelakangan ini, negara China telah menjadi pasaran besar untuk filem-filem India. Ternyata negara tersebut mempunyai peminat terhadap bintang-bintang Bollywood dalam kalangan masyarakat tempatan.

Filem Bollywood seperti "Dangal", "AndhaDhun" dan "MOM" memecah rekod yang dipegang oleh beberapa filem India lain yang ditayangkan di China baru-baru ini.


Terdapat percubaan untuk menayangkan filem "Taare Zameen Par" di China dengan sari kata bahasa Cina namun negara itu tidak mempunyai permit untuk menayangkan filem antarabangsa yang berusia lebih dari dua tahun.

Memandangkan filem tersebut mendapat sambutan universal, keputusan untuk membikin semula filem itu telah dibincangkan oleh pembikin filem China dan akan dibintangi pelakon-pelakon tempatan.

Filem 'remake' itu akan dihasilkan oleh syarikat produksi tempatan dan diarah oleh Ma Duo yang sebelum ini bekerja sebagai penolong pengarah kepada Jiang Wen bagi filem "Let The Bullets Fly".

Menerusi filem itu, Aamir Khan memegang watak sebagai guru seni kepada seorang kanak-kanak yang mempunyai penyakit Disleksia.

Sebelum ini, filem-filem lakonan Aamir Khan seperti "PK", "Dangal" dan "Secret Superstar" mendapat tempat di hati peminat China.

(Sumber foto: India Words)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide