Buletin
Fizz Fairuz banyak tolak tawaran berlakon


Tarikh disiarkan: 19 Julai 2019


Fizz Fairuz kesal dengan sikap pelakon baru yang tidak ambil peduli soal kualiti lakonan.

19 Jul – Pelakon Fizz Fairuz memberitahu dia masih lagi aktif berlakon walaupun sudah lama kelibatnya tidak kelihatan di kaca televisyen atau pun di layar perak.

Menurut Fizz, dia masih lagi mendapat banyak tawaran berlakon tetapi terpaksa menolaknya kerana watak atau gandingan tidak sesuai dengannya.

"Alhamdulillah, tawaran berlakon sentiasa ada tetapi apabila gandingan kurang sesuai dan permintaan untuk menukar gandingan tidak diterima saya terpaksa tarik diri. Bukan hendak berlagak kerana sudah lama berlakon tetapi saya sedih melihat kebanyakan pelakon sekarang lebih fikirkan populariti berbanding lakonan.

"Pernah saya cuba berlakon dengan pelakon baharu tetapi mereka langsung tidak bersungguh hingga lakonan kami hambar sedangkan jalan cerita sangat menarik," ujarnya yang dipetik dari Harian Metro.

Susulan itu, pelakon "Munafik 2" ini kini lebih selesa bekerjasama dengan pelakon lama dan berpengalaman kerana mereka amat menitik beratkan kualiti lakonan.


Dalam perkembangan lain, pelakon berusia 39 tahun ini memberitahu yang dia bakal menerbitkan filem sulungnya tidak lama lagi.

Fizz berkata filemnya itu akan mengetengahkan genre kerohanian yang sesuai dengan cita rasa penonton ketika ini.

Malah dia juga sudah berbincang dengan Syamsul Yusof untuk membantunya dalam kerja-kerja belakang tabir.

Sekiranya tiada aral melintang, penggambaran filem itu akan bermula pada Oktober ini.

(Sumber foto: Fizz Fairuz Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Munafik 2 (Melayu) (30 Ogos 2018)
Hospital (Melayu) (13 April 2017)
Cicakman 3 (Melayu) (12 Mac 2015)