Buletin
Filem baru Bhumi Pednekar bakal ditayang di FFAB ke-24


Tarikh disiarkan: 11 September 2019


Bhumi Pednekar teruja dapat bekerjasama dengan pengarah Alankrita Srivastava.

11 Sep – Aktres Bhumi Pednekar teruja mengumumkan bahawa filem baru lakonannya, "Dolly Kitty Aur Woh Chamakte Sitare", bakal ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Busan (FFAB) yang ke-24.

Bhumi telah berkongsikan poster filem itu serta mengucapkan tahniah kepada pihak produksi filem menerusi di laman Twitter baru-baru ini.

Filem yang turut menampilkan aktres Konkona Sen Sharma itu diarahkan oleh Alankrita Srivastava, yang pernah mengarah filem komedi gelap berjudul "Lipstick Under My Burkha".

"Alankrita adalah seseorang yang sudah lama saya ingin bekerjasama sebagai seorang artis. Dia menghasilkan filem-filem yang mempunyai makna mendalam dan mendapat perhatian ramai. Dia adalah seorang pengarah yang hebat.


"Dia mempunyai bahasa unik tersendiri dalam membikin filem dan "Dolly Kitty Aur Woh Chamakte Sitare" adalah skrip paling baik yang saya pernah baca. Saya tidak sabar untuk berlakon filem ini selepas membaca skripnya," ujar Bhumi.

Laporan dari India Today menyatakan filem komedi itu berkisar mengenai dua orang sepupu yang berasal dari Delhi, di mana masing-masing menjalani kehidupan rahsia.

Kedua-dua mereka akan membawa watak gadis berusia 22 tahun, Dolly dan Kitty, yang mempunyai impian dan cita-cita yang tinggi.

Festival filem itu akan berlangsung selama 10 hari, bermula pada 3 hingga 12 Oktober depan di Haeundae-gu, Busan, Korea Selatan.

Sebanyak 303 buah filem dari 85 buah negara akan ditayangkan di festival tersebut.

(Sumber foto: suntiros.com)
(Sumber artikel: India Today)

Penulis: Nisa Irina






Ticket Pricing Guide