Buletin
Fouziah Gous cabar diri dalam drama "Sara Sajeeda"


Tarikh disiarkan: 19 Ogos 2019


Fouziah Gous bersyukur pihak produksi memberi jadual kerja yang fleksibel untuk drama terbarunya

19 Ogos – Setelah lebih tiga tahun menyepikan diri dari dunia lakonan, pelakon dan usahawan Datin Fouziah Gous akhirnya kembali berlakon apabila bakal muncul dengan drama terbaru berjudul "Sara Sajeeda".

Bagaimanapun ia bukanlah sebuah naskhah mudah buatnya kerana dia perlu menjayakan watak seorang wanita menjalin hubungan cinta dengan seorang lelaki muda.

"Dalam "Sara Sajeeda", saya memegang watak Nelisa yang bercinta dengan adik teman baiknya sendiri, lakonan Alif. Ia menjadi cabaran sulung dalam melakonkan watak bercinta dengan 'anak ikan'.


"Biarpun tuntutan watak itu tidak berat, ia tetap sukar bagi saya yang tidak pernah menjayakan cerita sebegitu. Menzahirkan cinta untuk lelaki lebih muda pasti ada cabaran tersendiri," ujarnya yang dipetik dari BH Online.

Pelakon "Sunti@Facebook" ini berkata hasratnya untuk kembali berlakon dapat direalisasikan kerana sikap terbuka pihak produksi yang memberikan kerjasama yang sangat baik apabila diberi jadual kerja yang fleksibel, sekaligus memudahkannya.

Aktres berusia 36 tahun itu berkata untuk penggambaran drama ini, dia hanya perlu ke lokasi penggambaran sebanyak tiga atau empat kali dalam seminggu.

Drama yang bakal disiarkan pada Oktober depan turut dibintangi oleh pelakon hebat lain seperti Tiz Zaqyah, Arslan Azad Butt dan Alif Muhaimin.

(Sumber foto: Fouziah Gous Instagram)

Penulis: Ashraf Nasser



Filem Berkaitan:
Sunti @ Facebook (Melayu) (26 Februari 2015)





Ticket Pricing Guide